BUTTERWORTH – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang merampas 1,715 kilogram (kg) makanan haiwan yang dibawa masuk dari Thailand pada Ahad lalu.
Pengarah Maqis Pulau Pinang, Muhammad Ikram Abd Talib berkata, kosainan bernilai RM55,605 itu dibawa masuk melalui pintu masuk Dermaga Air Dalam, di sini.
“Hasil pemeriksaan mendapati makanan haiwan yang dibawa itu tidak mempunyai permit import Maqis yang sah.
“Susulan itu, kita merampas kosainan tersebut mengikut Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] iaitu kegagalan untuk mengemukakan permit import bagi pengimportan makanan haiwan.
“Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali di bawah Seksyen 11(3) akta yang sama,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Tambah Muhammad Ikram, Maqis sentiasa komited dalam melaksanakan tugasan dan memastikan di semua pintu masuk negara bersama agensi penguatkuasaan di sempadan bagi memastikan komoditi keselamatan keluaran pertanian yang dibawa masuk ke dalam negara mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan. – MalaysiaGazette