Syahredzan Johan

KUALA LUMPUR – Wakil parti Gerakan di Pulau Pinang yang mempersoalkan tindakan kerajaan Persekutuan menambah jumlah penjawat awam mendapat kritikan pelbagai pihak.

Turut membidas kenyataan Mok Kok On itu ialah Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan yang menyifatkan kata-kata itu telah menimbulkan kemarahan umum, selain mengguris hati penjawat awam.

“Seorang jurucakap parti dalam Perikatan Nasional (PN) telah mengeluarkan kenyataan bahawa penjawat awam merupakan beban kepada negara.

“Mok Kok On, jurucakap parti Gerakan DUN Sungai Pinang telah menggesa kerajaan untuk antara lain mengurangkan bilangan penjawat awam.

“Posting ini sudah dipadamkan dari media sosial parti itu, mungkin sebab menimbulkan kemarahan,” katanya menerusi hantaran Facebooknya hari ini.

Kenyataan wakil Gerakan DUN Sungai Pinang, Mok Kok On yang kemudian dipadamkan dari media sosial selepas mendapat kecaman dari pelbagai pihak.

Semalam, rakan sekutu Pas dan Bersatu dalam PN itu membidas Putrajaya dengan mendakwa, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah gagal selepas membuat keputusan untuk menambah bilangan kakitangan penjawat awam.

Dalam satu hantaran di Facebook Gerakan Penang (yang kemudian dipadamkan), Mok Kok On mendakwa, penjawat awam sedia ada adalah beban kepada negara dan kerajaan sepatutnya mengecilkan saiz perkhidmatan awam.

Beliau dilaporkan berkata, dalam menangani gaji penjawat awam dan pencen yang besar, sudah tiba masanya untuk Anwar menambah hasil negara dan mengurangkan perbelanjaan dengan mengurangkan penjawat awam dan hutang luar negara.

Menurut Syahredzan, sebagai Ahli Parlimen, beliau membantah kenyataan itu yang langsung tidak membantu dan hanya mampu mengguris hati penjawat awam.

“Ada ramai penjawat awam yang tinggal di kawasan Parlimen Bangi. Mok Kok On harus membuat permohonan maaf,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.