Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Nur Jazlan Mohamed bercakap kepada media pada Persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’M, 19 JUN 2023.

KUALA LUMPUR – Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara, Datuk Nur Jazlan Mohamed menyifatkan pelantikannya semalam satu kejutan buat dirinya.

Mengakui tidak mendapat sebarang petunjuk sebelum itu namun beliau berjanji akan membantu Yang di-Pertua Dewan Negara yang juga baru dilantik semalam, Tan Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar untuk melaksanakan tugas.

“Saya tidak mempunyai apa-apa pengetahuan mengenai lantikan ini sehingga Jumaat baru saya dimaklumkan bahawa saya telah dicadangan oleh kerajaan. Saya pada ketika itu belum dilantik sebagai senator dan apabila saya diminta untuk menjawat jawatan ini ia merupakan satu kejutan bagi saya.

“Berdasarkan pengalaman saya selama tiga penggal sebagai ahli Parlimen dan juga sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri dan juga Pengerusi PAC, saya rasa mampu untuk melakukan tugas ini dan memberikan keyakinan kepada kerajaan yang mencadangkan nama saya,” katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini.

Nur Jazlan semalam dipilih sebagai Timbalan Speaker Dewan Negara selepas mendapat 43 undi dalam pengundian lantikan jawatan itu.

Turut dicalonkan jawatan itu, Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris yang dicadangkan Presiden Gerakan, Datuk Dominic Lau.

Nur Jazlan yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata, beliau akan turut membantu Wan Junaidi untuk melaksanakan Akta Perkhidmatan Parlimen yang pernah dicadangkan oleh Wan Junaidi ketika menjawat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) sebelum ini.

“Saya akan bantu Tan Sri Wan Junaidi untuk melaksanakan agenda kerajaan yang telah ditetapkan untuk melaksanakan Akta Perkhidmatan Parlimen untuk mengembalikan semula kuasa kepada Parlimen untuk menentukan hal ehwal pengurusan.

“Saya juga akan bantu Tan Sri untuk memperkasakan lagi Jawatankuasa Pemilih dan jawatankuasa yang telah ditubuhkan oleh kerajaan untuk memberikan akauntabiliti yang lebih tinggi kepada kementerian yang terlibat selaras dengan mandat yang diberikan oleh rakyat kepada kerajaan perpaduan pada hari ini,” katanya lagi.

Nur Jazlan dipilih  bagi menggantikan Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad.

Pencalonan Ketua UMNO Bahagian Pulai itu dikemukakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. – MalaysiaGazette