SUDAH sampai masanya untuk KPM memberi penjelasan tentang bagaimana penilaian PAJSK dilaksanakan berikutan markah, gred, dan pelaporan yang tidak konsisten dengan pencapaian sebenar murid. Ketika ini masih ramai ibu bapa tertanya-tanya bagaimana penilaian dan pemarkahan penglibatan murid dalam aktiviti kokurikulum dan aktiviti di luar bilik darjah dilaksanakan.
Untuk pengetahuan umum, Sistem Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan, dan Kokurikulum yang dikenali dengan singkatan PAJSK digunakan dalam konteks pendidikan di Malaysia untuk menguruskan dan menilai aktiviti-aktiviti jasmani, sukan, dan kokurikulum yang dilakukan oleh murid di sekolah. Sistem ini disediakan bagi membolehkan pentadbir sekolah dan guru-guru memasukkan maklumat dan pencapaian murid dalam aktiviti jasmani, sukan, dan kokurikulum. Sistem ini dikatakan satu platform yang terintegrasi untuk merekodkan dan menguruskan data seperti penyertaan setiap murid dalam sukan dan permainan, keahlian dalam kelab atau persatuan, kecemerlangan dalam aktiviti kokurikulum, dan lain-lain.
Dimaklumkan melalui sistem ini, sekolah dapat merekod kemajuan murid dalam aktiviti-aktiviti luar bilik darjah dan memberikan penilaian atau markah yang sesuai. Maklumat ini juga dapat digunakan untuk keperluan dokumentasi, pemantauan, dan penilaian prestasi pelajar secara holistik. Pengwujudan sistem ini dikatakan bertujuan untuk memperkukuhkan pelaksanaan dan penilaian aktiviti jasmani, sukan, dan kokurikulum di sekolah-sekolah Malaysia serta memastikan bahawa aspek pembangunan keseluruhan pelajar termasuk aspek fizikal, kemahiran sosial, dan nilai-nilai dapat diberikan perhatian yang sewajarnya.
Sedang objektif mewujudkan Sistem PAJSK ini sangat baik, namun pelaksanaan penilaian, penggredan, perekodan, dan pelaporan serta keupayaan sistem PAJSK itu sendiri perlu dipantau dan dikaji semula khasnya berkaitan kesahan, ketelusan, dan ketepatan penilaian yang dilakukan oleh guru yang terlibat di sekolah. Ramai ibubapa tidak peka malahan segelintir guru sendiri mengambil remeh tentang pemarkahan dan pelaporan PAJSK ini, seolah-olah ianya tidak penting berikutan ianya hanya membawa markah sebanyak 10%. Ketika ini bagi pelajar lepasan SPM yang ingin memohon pengajian melalui sistem UPU, pengiraan markah merit UPU merangkumi markah (10%) kokurikulum.
Oleh yang demikian penilaian kokurikulum ini walaupun hanya membawa 10%, ianya perlu dilaksanakan dengan lebih objektif dan telus. Perkara ini dibangkitkan berikutan terdapat insiden di mana murid yang aktif di sekolah tidak dinilai sebaiknya. Apabila penilaian dan perekodantidak dilaksanakan dengan baik, ianya sudah tentu memberi kesan kepada nilai pencapaian dan gred purata murid. Rentetan dari itu, pelaporan yang dicetak sangat tidak mencerminkan pencapaian sebenar murid. Begitu juga dengan kestabilan sistem yang dibina sebagai platform setempat itu perlu dipantau berikutan terdapat rungutan di mana pemarkahan telah direkodkan dengan baik oleh guru namun ketidakstabilan sistem telah menjejaskan penilaian, perekodan, dan pelaporan pencapaian murid.
Apa yang dimasukan di dalam sistem tidak sama dengan apa yang tercatat di dalam laporan yang diberikan kepada murid. Sekiranya ini berlaku dan menyebabkan pelaporan terhadap pencapaian murid dalam kegiatan kokurikulum terjejas, apakah tindakan segera yang diambil oleh pihak sekolah, PPD, dan JPN sendiri dalam memperbetulkan pelaporan tersebut? Wajarkah dibiarkan murid menanggung kesan dari kesilapan individu yang menilai, kelemahan dan ketidaktelusan prosedur pemarkahan mahupun ketidakstabilan sistem, atas alasan sistem telah ditutup?
Ingin dinyatakan di sini, walaupun hanya 10% markah PAJSK dan walaupun dianggap tidak penting oleh sebilangan pelaksana penilaian, kesan dari kecuaian, ketidaktepatan penilaian dan pelaporan boleh menjejaskan motivasi dan kepercayaan murid dan ibu bapa terhadap pihak sekolah dan sistem penilaian itu sendiri. Oleh yang demikian, wajar diadakan satu bentuk penilaian yang telus untuk menilai pencapaian kokurikulum dan aktiviti luar bilik darjah/sekolah sekiranya pemarkahan ini ingin digunapakai sebagai mata merit kemasukan ke pusat pengajian awam setelah tamat SPM.
Memastikan sesuatu sistem penilaian itu mencapai kesahan, mempunyai ketelusan, dan ketelitian dalam perekodan dan pelaporan adalah sangat penting di dalam membentuk kebolehpercayaan sesuatu sistem pentaksiran itu. Ianya juga membantu ke arah pembentukan kualiti penilaian dan seterusnya memastikan integriti dan profesionalisme pelaksana penilaian tidak dipersoalkan. Diharapkan pemantauan dan penambahbaikan dapat dilaksanakan bagi memastikan murid tidak menjadi mangsa keadaan oleh kelemahan sistem pengurusan penilaian itu sendiri. Ibu bapa dan murid juga perlu didedahkan dengan rubrik penilaian agar penilaian tersebut dapat dilaksanakan dengan lebih objektif.
Oleh: Prof. Madya Dr Zuwati Hasim
Profesor Madya di Jabatan Pendidikan Bahasa dan Literasi,
Fakulti Pendidikan,
Universiti Malaya