Alat bantu mengajar (ABM) Panduan Fardu Ain dan permainan Sozler Braille untuk kegunaan kanak-kanak dan pelajar kelainan upaya (OKU) penglihatan.

KUALA LUMPUR – Alat bantu mengajar (ABM) panduan fardu ain dan permainan Sozler Braille berjaya dibangunkan oleh sekumpulan pensyarah Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) bagi kegunaan kanak-kanak dan pelajar kelainan upaya (OKU) penglihatan.

Ia hasil kerjasama Persatuan Orang – Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) dan Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 18 (1).

Pengarah Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA), Dr. Norhayati Zakaria berkata, idea menghasilkan produk itu tercetus apabila menyedari ABM dan permainan bagi golongan istimewa itu sangat terhad khususnya berkaitan pendidikan Islam.

Menurutnya, projek itu adalah salah satu program tanggungjawab sosial korporat (CSR)  melalui projek inovasi dan kolaborasi bersama industri untuk kegunaan komuniti di samping turut memartabatkan Pendidikan Islam serta tulisan jawi dalam kalangan OKU penglihatan.

“PSA akan memperluas fungsi alat ini dan menambah baik mengikut kesesuaian pada masa akan datang. Semoga alat yang dihasilkan ini dapat memberi manfaat kepada anak-anak, pihak sekolah serta ibu bapa,” katanya dalam kenyataan.

Pengarah Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA), Dr. Norhayati Zakaria menghadiri Majlis Penyerahan Braille Panduan Fardu Ain dan Sozler Braille kepada Sekolah Kebangsaan
Putrajaya Presint 18 (1).

Beliau menyerahkan braille Panduan Fardu Ain dan Sozler Braille kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 18 (1), semalam.

Turut hadir Guru Besar Sk Putrajaya Presint 18 (1), Rozi Hassan, Pengerusi Operasi PERTIS, Zamzuri Ghani, Timbalan Pengarah Akademik PSA, Ts. Dr. Ahmad Aftas Azman dan Timbalan Pengarah Sokongan Akademik PSA Mohd Mubarak Shamsuddin.

Sementara itu, Penolong Kanan Pendidikan Khas, SK Putrajaya Presint 18 (1), Ahmad Bustamam Mohd Ali berkata, pihaknya sangat mengalu-alukan inisitif yang diambil khususnya dalam membantu pembelajaran para pelajar OKU penglihatan.

“Alat ini sangat bagus dan sangat dinanti-nantikan sebab sukar untuk dapat. Jika adapun sangat mahal kerana kebanyakkannya dihasilkan di luar negara. Untuk Pendidikan Islam ini adalah pertama kali kita jumpa.

“Bila PSA datang bersama PERTIS saya sangat terharu. Di Malaysia jarang nak jumpa produk CSR untuk OKU buta. Sebenarnya banyak lagi dalam dunia OKU yang kita perlukan. Kebanyakkan orang buat kerana bisnes tetapi PSA buat kerana CSR untuk bantu OKU,” jelasnya.

Sementara itu, Zamzuri berkata, pihaknya menyambut baik produk yang dihasilkan dan akan terus memberi sokongan serta berharap produk tersebut dapat diperluas dan dikembangkan untuk kegunaan pelbagai peringkat. – MalaysiaGazette