Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail

KUALA LUMPUR – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail hari ini menghadap Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara bagi mempersembahkan nama Ketua Polis Negara (KPN) dan Timbalan Ketua Polis Negara yang baharu.

Difahamkan nama Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain telah dicadangkan sebagai Ketua Polis Negara bagi menggantikan penyandangnya Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Bagi jawatan Timbalan Ketua Polis Negara, sebanyak empat nama pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dipersembahkan Safuddin.

Antara nama yang dipercayai dipersembahkan ialah Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Seri Hazani Ghazali.

Acryl Sani dilaporkan akan mengakhiri tugasnya sebagai KPN tiga bulan lebih awal iaitu pada minggu pertama Julai ini sedangkan kontrak perkhidmatan beliau selama dua tahun tamat pada 3 Oktober depan. – MalaysiaGazette