KUALA LUMPUR – Polis mengesan penipuan dalam talian atau scammer yang menggunakan paparan waran tangkap atau notis kehadiran dengan mempunyai logo Polis Diraja Malaysia (PDRM) palsu bagi memperdayakan mangsa.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, sehingga kini pihaknya menerima dua laporan membabitkan modus operandi baru yang mengakibatkan mangsa mengalami kerugian RM98,000.

Menurutnya, kedua-dua surat berkenaan masing-masing menggunakan tanda tangan jawatannya dan Ketua Polis Perlis.

“Kes pertama membabitkan seorang peniaga kedai makan di Teluk Intan yang menerima panggilan mendakwa terdapat kiriman bungkusan mengandungi barang terlarang selain ada waran tangkap kerana pengadu dikatakan terbabit kes berkaitan dadah dan pengubahan wang haram,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Yusri, notis kehadiran yang mempunyai logo PDRM dan perjawatan Ketua Polis Perak dihantar sindiket scam itu ke telefon bimbit pengadu.

“Bagi kes kedua pula membabitkan mangsa seorang pensyarah universiti di Perak diperdaya sindiket yang menghantar notis kehadiran mempunyai logo PDRM kononnya ditanda tangani Ketua Polis Perlis mendakwa mangsa terbabit kes penyeludupan dan menggelapkan wang RM2.8 juta,” ujarnya.

Mohd Yusri menegaskan,polis tidak menjalankan urusan berkaitan jenayah secara perbualan telefon kecuali dengan tujuan pemakluman mengenai perjumpaan secara bersemuka.

Beliau mengingatkan supaya tidak mempercayai urusan perbankan melalui panggilan telefon.

Sementara itu, beliau berkata, sindiket scam telefon ini adalah penyumbang utama kepada jenayah penipuan secara dalam talian di negeri itu.

Sepanjang tahun lalu, 358 kes dilaporkan dengan kerugian RM15,110,598.87. Bagi tempoh Januari hingga Mei lalu, sebanyak 181 kes disiasat membabitkan kerugian RM8,088,363.49, katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast