KUALA LUMPUR – UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu memilih calon yang boleh memberi kemenangan kepada parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri nanti.
Setiausaha Agung Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub berkata, calon itu pula mestilah mempunyai kriteria WALI iaitu winnable (boleh menang), acceptable (diterima) dan likeable (disenangi), bukan calon kroni.
“Ini antara pesanan dari kami kepada pucuk pimpinan parti, selain mengharapkan jentera parti turun bekerja demi kemenangan kepada calon sekaligus parti.
“Di samping itu, setiap ahli UMNO mesti memastikan keluarga mereka yang layak mengundi pada PRN ini memberi undi kepada calon BN,” katanya menerusi hantaran Facebooknya hari ini.
Setakat ini, hanya dua daripada enam negeri yang menghadapi PRN sudah mengumumkan tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Kelantan pada 22 Jun, manakala Selangor 23 Jun ini.
Mustapha menjangkakan empat negeri lagi akan mengumumkan tarikh pembubaran masing-masing sebelum habis akhir bulan ini bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri.
Beliau percaya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak akan menunggu 60 hari untuk mengisytiharkan tarikh penamaan calon dan mengundi.
“Paling lambat pun PRN di enam negeri ini akan diadakan serentak pada minggu pertama Ogos ini. Bermakna ada enam minggu sahaja lagi.
“Kita harap pembahagian kerusi Pakatan Harapan (PH) dengan BN menemui jalan penyelesaian walaupun calon belum diputuskan lagi,” katanya. – MalaysiaGazette