Mangsa dikenali sebagai V. Mahadevi yang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

SEGAMAT – Seorang wanita maut selepas rumahnya dihempap bumbung sekolah yang diterbangkan angin di Tahang Rimau dekat sini malam tadi.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Segamat, Pegawai Bomba Kanan II, Abd Rahim Rahmat berkata, pihaknya mendapati  bumbung Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seg Hwa berkeluasan 501 meter persegi runtuh pukul 7.41 malam.

Bumbung itu kemudiannya diterbangkan angin menghempap sebuah rumah yang terletak kira-kira 30 meter dari sekolah.

“Terdapat seorang wanita telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum anggota bomba danm mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Abd Rahim,  mangsa dikenali sebagai V. Mahadevi  berusia 55 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Mangsa kemudiannya telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi ditamatkan pada jam 8.21 malam. – MalaysiaGazette