KUALA LUMPUR – Seramai 68 orang warga asing ditahan bersama seorang lelaki tempatan dalam satu Operasi Khas “Ops Gelombang 3” yang dijalankan di Terminal Bas Kota Bahru, Kelantan pada 14 Jun yang lalu.
PATI yang diseludup masuk dari pangkalan haram di sempadan negara Malaysia-Thailand ini diserbu dalam operasi jam 3 pagi oleh sepasukan pegawai dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dan JIM Negeri Kelantan.
Ketua Pengarah JIM, Datuk Ruslin Jusoh berkata, operasi ini adalah rentetan kejayaan “Ops Gelombang 2” yang telah dijalankan pada bulan Mac lalu.
Warga asing yang ditahan ini berumur antara 10 hingga 62 tahun dipercayai datang ke negara ini untuk mendapatkan pekerjaan.
Tambah beliau, semasa serbuan, kesemua mereka dipercayai baru tiba dari negara jiran dan kemudian di pindahkan ke sekitar Terminal Bas Kota Bahru.
Turut ditahan dalam operasi ini adalah seramai tiga lelaki Malaysia disyaki berperanan sebagai transporter iaitu penghantar bagi sindiket tersebut.
PATI yang dibawa masuk ini akan dihantar ke luar Kelantan dan sekitar Lembah Klang dan dalang sindiket dipercayai mengenakan bayaran antara RM6,000 hingga RM7,000 bagi setiap warga asing.
Sindiket ini dipercayai telah aktif sejak enam bulan yang lalu.
Manakala transporter tempatan menerima upah antara RM150 hingga RM250 bagi setiap orang PATI yang diangkut dari sempadan ke terminal bas berkenaan,” ujarnya.
Ruslin berkata, kesemua PATI ditangkap disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966.
Manakala tiga orang lelaki tempatan telah dihadapkan ke mahkamah dan direman selama enam hari di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi tujuan siasatan di bawah Akta Anti-Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.
Susulan daripada operasi ini, sebanyak tiga buah kenderaan pelbagai jenis yang dianggarkan bernilai RM50,000 turut disita. – MalaysiaGazette
“