Ayob Khan

KUALA LUMPUR – Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara berkuatkuasa mulai 23 Jun 2023.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pelantikan itu dibuat setelah mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Pelantikan itu selaras dengan Fasal 4 dan 5 Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat Perdana Menteri atas perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis.

“Kerajaan mengucapkan syabas dan tahniah di atas pelantikan ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ayob Khan, 57, mengisi jawatan itu yang dikosongkan Tan Sri Razarudin Husain @ Abd Rasid setelah dilantik sebagai Ketua Polis Negara baharu berkuatkuasa 23 Jun ini.

Ayon Khan dilahirkan pada 27 Julai 1966 di Kota Setar, Kedah dan mempunyai kelulusan Ijazah Sarjana Teknologi Maklumat dari Universiti Kebangsaan Malaysia serta pernah menjawat pelbagai jawatan di peringkat negeri dan Kontinjen.

Beliau memulakan tugas pada 1993 di Cawangan Khas Bukit Aman daripada pangkat Penolong Penguasa Polis (ASP) sehingga ke pangkat Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) selama 15 tahun.

Beliau kemudiannya dinaikkan pangkat sebagai Penolong Kanan Pesuruhjaya Polis (SAC) dan ditempatkan di Urus Setia KPN (Penyelidikan dan Pembangunan) Jabatan Pengurusan Bukit Aman sebelum kembali ke Cawangan Khas dengan pangkat Timbalan Pesuruhjaya Polis (DCP) pada 2016.

Kemudian beliau berkhidmat selama empat tahun dan telah dinaikkan pangkat ke Pesuruhjaya Polis (CP) pada 2020 dan menjawat jawatan sebagai Ketua Polis Johor.

Pada 2022, beliau kembali ke Bukit Aman sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dan kini berkhidmat sebagai Pengarah JSJ. – MalaysiaGazette