Mohd Zaidi Md. Zain

KUALA LUMPUR – UMNO Selangor yang bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) negeri itu mempunyai harapan untuk beroleh kemenangan majoriti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.

Ketua Penerangannya, Datuk Mohd Zaidi Md. Zain berkata, keyakinan itu berdasarkan kerjasama erat dan saling kebergantungan antara dua parti iaitu Barisan Nasional (BN) dengan PH.

“Kita yakin dan percaya kerjasama erat dan saling kebergantungan antara parti di negeri ini akan membolehkan BN dan PH mampu bergerak seiring pada PRN yang dijangka Julai atau Ogos ini.

“Suasana ini sebenarnya memberi kelebihan kepada kami untuk mengharungi PRN selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dibubarkan Jumaat ini.

“Kita akan saling bantu membantu dalam gerak kerja meraih undi dengan menggemblengkan jentera masing-masing sama ada di kawasan yang kita bertanding atau tidak,” katanya yang dipetik UMNO-Online hari ini.

Beliau yang Ketua UMNO Bahagian Bangi berkata, persefahaman yang ada hari ini akan diperkemaskan sebaik mungkin walaupun tempoh atau pendekatan yang dilakukan cukup singkat.

Selain itu, kata Mohd Zaidi lagi, walaupun tempoh agak singkat, kedua-dua pihak telah bertindak pantas mencari persefahaman terutama di peringkat akar umbi memandangkan pendekatan diambil itu begitu hampir dengan tempoh PRN.

“Dengan demikian keupayaan BN dan PH untuk mencapai kemenangan nanti akan menjadi lebih mudah.

“Dalam erti kata lain soal kestabilan dan masa depan rakyat di Selangor, kita akan terus perjuangkan dengan sebaiknya dan agenda pembelaan untuk rakyat dapat dilaksanakan sebaiknya setelah mendapat mandat pada PRN nanti,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast