KUALA LUMPUR – Koperasi Polis Diraja Malaysia Berhad (KPDRM) hari ini mengumumkan pengagihkan dividen tahunan sebanyak lima peratus atas modal yuran dan enam peratus atas modal syer kepada seramai 109,185 orang anggotanya.
Jumlah keseluruhan dividen yang diagihkan oleh KPDRM kali ini adalah RM26.7 Juta.
Timbalan Ketua Polis Negara , Tan Sri Razarudin Husain Rasid merangkap Timbalan Yang Dipertua KPDRM mengumumkan pengagihan dividen tersebut sempena Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan kali ke 88 di di ibu negara.
“Bayaran dividen tersebut akan dikreditkan pada akaun anggota yang membuat simpanan bermula 23 Jun ini. KPDRM terus berkembang dengan positif apabila turut mencatatkan peningkatan prestasi apabila menduduki tangga ke-3 dalam Indeks 100 Koperasi Terbaik Malaysia,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Pada majlis tersebut, KPDRM turut menyampaikan pampasan takaful kepada dua orang waris anggota iaitu Allahyarham Rusli Abas, Penolong Pengarah Pengurusan (Kebajikan ) Bukit Aman yang meninggal dunia akibat kemalangan motosikal berjumlah RM177,500.
Katanya, seorang lagi waris iaitu anak kepada Allahyarham Mohamad Sabri Ayob menerima sejumlah RM 92,500.
“KPDRM menawarkan caruman serendah RM11 seunit setiap sebulan untuk takaful kelompok kepada ahlinya bagi memberi perlindungan kepada anggota dan waris sekiranya terjadi perkara yang tidak diingini.
“Anggota boleh menambah unit insurans sehingga maksimum enam unit dan juga terbuka kepada pasangan serta anak-anak anggota,” katanya.
Penganugerahan khas turut disampaikan kepada anggota dengan Modal Yuran Paling Tinggi, Anggota Paling Setia (masih berkhidmat dan bersara ), Ahli Jawatankuasa Kecil Daerah (AJKKD) paling komited, Daerah Koperasi paling Aktif dan pemenang utama Pertandingan Rekacipta Logo dan Nama Sistem Koperasi PDRM.
Semua pemenang menerima wang tunai, sijil penghargaan dan trofi. – MalaysiaGazette