Gambar hiasan

PULAU PINANG – Wakil Pas dikatakan akan menjadi Ketua Menteri Pukau Pinang sekiranya Perikatan Nasional (PN)  berjaya memenangi pilihan raya negeri.

Pegawai Penyelarasan Ketua Menteri Pulau Pinang untuk Kawasan Balik Pulau, Gooi Seong Kin berkata, keadaan itu akan berlaku kerana Pas merupakan parti terbesar dalam PN diikuti Bersatu.

Beliau berkata, Gerakan yang tidak mempunyai satu pun kerusi di Parlimen tidak akan berpeluang untuk menjawat Ketua Menteri Pulau Pinang walaupun jika PN menang dalam pilihan raya.

“Hala tuju politik PN adalah ditentukan oleh Pas secara sepenuhnya,” katanya dipetik Oriental Daily dalam kenyataan yang mengulas tentang calon Ketua Menteri Pulau Pinang oleh PN.

Seong Kin berkata, selepas berkuasa, Pas akan melaksanakan dasar yang sama dengan Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis, termasuk mengubah hari rehat di Pulau Pinang.

Katanya, orang Pulau Pinang harus bersedia untuk menerima kerajaan negeri Pas jika mereka mahu menggunakan PN untuk mengajar PH dalam pilihan raya negeri.

Mengulas isu yang sama, Presiden Gerakan, Dominic Lau dipetik Sinchew Daily sebagai berkata: “Yang penting adalah kemenangan PN, tidak lewat untuk berbincang siapa menjadi ketua menteri selepas itu.”

Dominic sebelum ini dilaporkan berkata bahawa PN akan menawan Pulau Pinang melalui formula 15+5+1 iaitu memenangi 15 kawasan Melayu, lima kawasan campuran dan satu kawasan Cina.

Kenyataan PN menawan Pulau Pinang itu juga membangkitkan perbincangan mengenai calon ketua menteri pakatan politik itu.

Pengerusi DAP, Lim Guan Eng pula mengajak Dominic untuk bertanding di kerusi Air Putih yang dimenanginya dalam pilihan raya lalu.

“Dominic dulu pernah berkata mahu bertanding di Air Putih, maka datanglah ke Air Putih.

“Beliau boleh membuat keputusan dan ini tidak bermakna kami (DAP) mencabarnya untuk bertanding di Air Putih,” katanya. – MalaysiaGazette