Saifuddin Nasution Ismail

KUALA LUMPUR – Sebanyak 151 Pos Kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA) akan dibaik pulih di sempadan negara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kos baik pulih kesemua pos berkenaan memerlukan peruntukan anggaran sebanyak RM45 juta.

Katanya, pos kawalan berkenaan perlu dibaik pulih segera kerana keadaannya telah daif malah ada lantai di pos bereknaan sudah reput.

“Maka kita hendak membaik pulih agar keadaan pos kawalan lebih kondusif dan anggota-anggota bertugas boleh berada dalam keadaan selesa kerana mereka ini ditempatkan di lokasi-lokasi strategik.

“Kita kena faham bahawa kes-kes jenayah rentas sempadan seperti pemerdangan dan penyeludupan manusia, senjata api, dadah dan bahan mentah banyak melalui kawasan lorong tikus sempadan negara termasuklah pencerobohan pendatang asing tanpa izin.

“Sekiranya Pos Kawalan PGA dapat dibaik pulih, tidak syak lagi ia akan membantu menyekat dan membanteras sebarang bentuk jenayah rentas sempadan di Thailand,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Negara dan Timbalan Ketua Polis Negara membabitkan Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani Tan  Razarudin Husain dan Datuk Seri Ayob Khan di sini hari ini.

Saifuddin berkata, permohonan peruntukan kewangan bagi tujuan itu telah dikemukakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan berharap Kementerian Kewangan dapat meluluskannya.

“Saya sendiri pernah turun tinjau keadaan pos kawalan PGA di sempadan negara yang mana sedih tengok kerana ada yang macam kabin biasa, lantai dah reput. Maka wujud keperluan segera untuk kita mengutamakan penambahbaikan segera.

“Saya optimis, jika siap nanti segala jenayah rentas sempadan yang berlaku itu dapat disekat melalui kawalan pos hadapan ini,” tegasnya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast