KUALA LUMPUR – Seramai 40,000 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan bertugas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri yang dijangka diadakan pada akhir Julai atau Ogos ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, langkah itu bagi memastikan proses PRN berjalan lancar tanpa sebarang insiden atau perlanggaran undang-undang.
Katanya, jaminan keselamatan awam akan diutamakan kementeriannya dan tanggungjawab itu terpikul di bahu polis.
“Kita sekarang sedang berada dalam penyusunan untuk menempatkan dalam anggaran 40,000 anggota yang akan bertugas di kesemua enam negeri pada PRN nanti.
“Mereka akan terdiri daripada sama ada anggota dalam negeri atau didatangkan dari negeri-negeri yang tidak terlibat dalam PRN,” katanya kepada pemberita ketika ditanya mengenai persiapan PDRN menjelang PRN akan datang.
Menurut Saifuddin, pihaknya akan memastikan tidak berlaku sebarang pelanggaran undang-undang dan rakyat akan diberi peluang menjalankan hak mereka untuk memilih tanpa perasaan takut untuk keluar rumah. – MalaysiaGazette