KUALA LUMPUR- Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani yang bersara hari ini mengucap selamat tinggal kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas berkhidmat selama 37 tahun dalam pasukan Sang Saka Biru itu.
Bekas Ketua Polis Negara Ke-13 itu telah diraikan dalam Majlis Perbarisan Perpisahan dan Paluan Berundur di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di Kuala Lumpur, jam 5 petang tadi.
Lebih 500 pegawai kanan dan isteri masing-masing, telah hadir memeriahkan majlis itu sebagai simbolik penghormatan terakhir buat Acryl Sani yang hadir ditemani isterinya, Puan Sri Ir. Zaitun Mohd Isa.
Hadir sama ke majlis itu adalah Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.
Majlis itu diserikan dengan perbarisan utama Panji Panji PDRM dan lintas hotmat pesawat Pasukan Gerakan Udara dan persembahan Pancaragam Pusat PDRM serta deklamasi sajak.
Sebelum majlis berakhir, Acryl Sani bersama isteri dan diarak menggunakan kenderaan rasmi pasukan PDRM.
Sambil melambai ke arah pengamal media yang berkumpul untuk mengucapkan selamat tinggal, Acryl merakamkan setinggi penghargaan kepada media atas sokongan padu yang diberikan sepanjang kepimpinan beliau dalam PDRM.
Beliau kemudian menandatangani buku pelawat di bilik pengawal Pulapol dan sebelum meninggalkan majlis.
Acryl Sani telah dilantik sebagai Ketua Polis Negara pada 4 Mei 2021 bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Tan Sri Abdul Hamid Bador yang tamat perkhidmatannya pada 3 Mei 2021.
Acryl Sani dilahirkan pada 3 Oktober 1961 di Petaling Jaya, Selangor, merupakan anak kedua daripada enam beradik.
Beliau berkelulusan Sarjana Muda Kejuruteraan Awam (Kepujian) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor dan Sarjana Sains (Pengurusan) dari Universiti Utara Malaysia (UUM).
Menyelusuri perjalanan kariernya, beliau memulakan perkhidmatannya pada 2 Februari 1986 sebagai Kadet Asisten Superintenden Polis.
Sepanjang tempoh berkhidmat, Acryl Sani telah menyandang pelbagai jawatan penting antaranya, Timbalan Pengarah 1 Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman dan Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan/Perundangan), Bukit Aman selain diberi kepercayaan untuk mengetuai Kontinjen Terengganu.- MalaysiaGazette