PASIR GUDANG – Pelarian Rohingya dibenarkan melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) awam yang dipilih berdasarkan kelayakan dengan kuota yang terhad.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kemasukan etnik itu bagaimanapun itu tidak akan dibuka sewenang-wenangnya danĀ tiada layanan istimewa diberikan diberikan.
Sehubungan itu, beliau berkata, masyarakat tidak perlu bimbang dengan kehadiran mereka melanjutkan pelajaran di IPT awam di negeri ini.
“Tidak semua etnik Rohingya seperti yang kita lihat di luar, ada dalam kalangan mereka yang berkelayakan. Malaysia sebuah negara yang ramai pelajar antarabangsa datang untuk belajar, jadi ada antaranya Rohingya.
“Jika etnik itu (Rohingya) berkelayakan, boleh bayar, mereka juga dibenarkan memohon melanjutkan pelajaran ke IPT dalam bidang tertentu dengan tempat yang terhad. IPTS (institusi pengajian tinggi swasta) memang terbuka.
“Perlu faham tidak semua IPT ambil etnik ini (Rohingya) masuk semua universiti, tidak. Ini bukan macam berniaga di tepi jalan, hendak masuk ke universiti kena ada kelayakan merit, bukan semua orang boleh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa mengadakan lawatan kerja ke Politeknik Ibrahim Sultan (PSI), di sini, hari ini.
Khaled berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kegusaran masyarakat dengan langkah membenarkan pelarian Rohingya menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi ke IPT tempatan dan dikatakan bakal mengancam kedaulatan negara.
Sebelum ini Penasihat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Prof Emeritus Dr. Morshidi Sirat dilaporkan berkata, pelarian Rohingya yang ingin melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi, akan dapat berbuat demikian tidak lama lagi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Peluang melanjutkan pengajian untuk pelarian itu akan dibiayai menerusi sumbangan Dana Qatar Untuk Pembangunan yang diterima sebelum 2020, berjumlah AS$50 juta (RM231 juta). – MalaysiaGazette