Mahkamah Kuantan

KUANTAN – Mahkamah Tinggi Kuantan hari iniĀ  memutuskan 7 Julai depan bagi keputusan permohonan semakan yang difailkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap keputusan Mahkamah Majistret yang menolak perintah reman terhadap seorang ketua polis daerah (OCPD) di Pahang, bagi membantu siasatan dakwaan rasuah lebih RM1 juta.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Datuk Zainal Azman Ab Aziz selepas mendengar hujah SPRM selaku pemohon.

SPRM diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Rifah Izzati Abdul Mutalif dan peguam, Datuk Bob S Arumugammewakili OCPD terbabit selaku responden dalam permohonan itu.

Rifah Izzati ketika berhujah mendakwa Mahkamah Majistret terkhilaf semasa menolak permohonan reman oleh SPRM di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) terhadap KPD itu dengan alasan terdapat peruntukan khusus di bawah Seksyen 49 Akta SPRM (ASPRM) 2009 bagi mendapatkan perintah reman.

Namun, Bob Arumugam dalam hujah balasnya berkata, keputusan Mahkamah Majistret yang menolak permohonan reman dikemukakan SPRM betul dan tidak terkhilaf.

Pada 7 Jun lalu, Mahkamah Majistret menolak permohonan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) yang dikemukakan SPRM terhadap responden memandangkan siasatan tidak dapat diselesaikan dalam tempoh 24 jam pada 7 Jun lalu menurut hujah timbalan pendakwa raya.

OCPD itu ditahan kerana disyaki menerima rasuah dianggarkan lebih RM1 juta sepanjang tempoh antara 2017 hingga 2022.

Dia didakwa menerima rasuah bagi melindungi aktiviti pusat hiburan dan pusat urut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast