KUALA LUMPUR – Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Telekom Malaysia Bhd (TM), Datuk Imri Mokhtar dinobatkan Anugerah Khas Ketua Pegawai Eksekutif Tertinggi atau CEO Of The Year pada Anugerah PC.com Edisi ke-23.
Imri yang mempunyai pengalaman lebih 24 tahun dalam telekomunikasi dan strategi serta pernah menjawat Ketua Pegawai Operasi di Celcom Axiata Bhd.
Pada anugerah sama anjuran Syarikat Media Reach Publishing itu, syarikat hartanah terkemuka iaitu Sime Darby Property memenangi Anugerah Pemaju Rumah Pintar dan Perbandaran Terbaik manakala pemenang lain termasuk Maxis, Touch ‘n Go eWallet, Tune Protect dan Tenaga Nasional Berhad.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, majlis anugerah itu telah berjaya menyatukan rakyat dengan pemain industri di mana yang terbaik diberi ganjaran dan pujian itu mampu memberi rangsangan kepada penyedia untuk berusaha lebih jauh dalam penyampaian mereka.
“Ia bukan semata-mata acara penting tetapi membantu rakyat Malaysia terutamanya golongan belia merealisasikan apa yang mereka inginkan.
“Pada akhirnya menuntut ke arah masa depan di bawah matlamat untuk membolehkan interaksi bebas dan terbuka antara rakyat, industri dan yang lebih penting adan kerajaan.
“Ini adalah sumbangan Reach Publishing sejak 23 tahun lalu,” katanya dalam satu rakaman video yang ditayangkan pada anugerah itu malam tadi.
Lebih 120 ketua industri hadir pada Anugerah PC.com yang bertemakan Menuju Negara Digital dengan penambahan beberapa lagi kategori anugerah memandangkan langkah besar industri ke arah pendigitalan.
Anugerah itu mengiktiraf sumbangan syarikat terkemuka dalam sektor swasta Malaysia yang dipacu oleh pengundian dalam talian pengguna untuk memilih produk dan perkhidmatan jenama di bawah 27 pencalonan kategori selain Anugerah Khas Ketua Pegawai Eksekutif Tertinggi oleh barisan juri.
Sementara itu, Editor Urusan, Selva Rajan berkata, anugerah tahunan PC.com yang diadakan sejak tahun 2000 diiktiraf sebagai acara anugerah berprestij dalam kalangan pemain industri.
“Majlis tahun ini adalah istimewa kerana cabaran yang dihadapi oleh pelbagai perniagaan dan kami mendedikasikan usaha mereka yang memainkan peranan penting dalam menyokong rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.
Anugerah PC.com ditaja oleh OGAWA, Hotel Sunway Resort, Banjaran Hotsprings Retreat, Jabra, STM, Taman Tema Sunway, The Olive Tree Group, ViewSonic, Acer, BadLab, Yoodo, Decathlon, Ninja Van dan Institut Jantung Negara. – MalaysiaGazette