LONDON – Manchester United semakin hampir dalam usaha mereka mendapatkan Andre Onana di sebalik kontrak penjaga gol utamanya, David De Gea akan berakhir minggu depan dan dia masih belum menandatangani perjanjian baharu.
Pada masa sama, kehadiran pemain kebangsaan Cameroon menjadi spekulasi setelah Inter Milan mula mencari pengganti untuk penjaga gawangnya itu apabila telah mengenal pasti dua calon pengganti untuk Onana.
Skuad kendalian Simone Inzaghi mensasarkan penjaga gol Valencia, Giorgi Mamardashvili dan Yann Sommer dari Bayern Munich.
Inter juga turut memburu penjaga gol Empoli, Guglielmo Vicario, tetapi dia sudah mempersetujui perjanjian dengan Tottenham.
Pencarian Inter membuka pintu buat Man United untuk mendapatkan Onana dengan Chelsea tidak lagi berminat mendapatkan bintang Cameroon itu.
Erik ten Hag pernah bekerjasama dengan Onana di Ajax dan corak permainannya menepati falsafah pengendali United itu.
Inter meletakkan harga 50 juta pound (RM297.19 juta) untuk penjaga golnya itu, tetapi United perlu berhati-hati kerana mereka juga sedang memburu pemain Chelsea, Mason Mount serta seorang penyerang.
United masih mempunyai seorang lagi penjaga gol berkaliber, Dean Henderson, tetapi pemain England itu mungkin akan terus kekal bersama Nottingham Forest selepas beraksi cemerlang bersama kelab itu musim lalu. – MalaysiaGazette