KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) melaksanakan penempatan secara berperingkat dalam kalangan pegawai perubatan yang menamatkan latihan siswazah bermula Julai tahun ini.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, langkah berkenaan bagi mengisi kekosongan jawatan doktor lantikan kontrak di klinik dan hospital kerajaan susulan keputusan penyerapan baru-baru ini.
Menurut beliau, seramai 675 pegawai perubatan akan diagihkan segera mulai bulan depan diikuti dengan seramai 1,150 pegawai lagi yang akan diagihkan pada Ogos 2023.
“Berdasarkan rekod KKM, seramai 3,226 Pegawai Perubatan akan menamatkan latihan siswazah atau khidmat wajib secara berperingkat mulai Jun hingga Disember 2023,” katanya menerusi kenyataan.
Menurut Zaliha, urusan seterusnya akan dilakukan sebaik sahaja pegawai menamatkan latihan atau khidmat wajib.
Katanya, seramai 4,914 pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi lantikan kontrak telah ditawarkan pelantikan tetap oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).
Jumlah ini merangkumi seramai 4,263 pegawai perubatan, 335 pegawai pergigian dan sebanyak 316 pegawai farmasi.
Daripada jumlah berkenaan, seramai 4,907 pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi lantikan kontrak telah melengkapkan urusan setuju terima melalui Sistem Tawaran Pelantikan Tetap (mySTP) SPA, manakala tujuh pegawai perubatan telah menolak pelantikan tetap tersebut.
Dalam masa yang sama tambah beliau, KKM menerima 1,000 rayuan dari pegawai supaya dikekalkan di penempatan semasa.
“Antara alasan yang diberikan adalah pegawai menghadapi masalah kesihatan diri dan keluarga, tidak bersetuju untuk berkhidmat di Sabah, Sarawak dan Labuan, penempatan menyebabkan pegawai terpaksa tinggal berjauhan dengan pasangan dan pegawai akan atau memulakan pengajian kepakaran,” jelas Zaliha. – MalaysiaGazette