PETALING JAYA – Persatuan Perpaduan Rakan Penghantar Malaysia (PPRPM) kecewa ke atas syarikat e-hailling yang menggantung akaun seorang rider tular baru-baru ini.
Walaupun syarikat itu menerusi kenyataan bertindak pantas menarik balik penggantungan itu semalam tetapi tindakan itu dianggap tidak adil dan profesional.
Ia kerana penghantar makanan itu dikasari, diancam dan diugut dengan pengunci stereng kereta oleh warga Singapura yang didakwa melakukan kesalahan mengisi petrol bersubsidi dalam tong.
“Kita boleh nampak tindakan berani dan keganasan orang luar (warga asing) terhadap kita, seolah-olah tidak menghormati pekerjaan kami dan juga undang-undang negara kita, penghantar makanan juga manusia biasa .
“Rider itu cuma marah jangan beli minyak jenis RON95. Perkara ini (digantung kerja) tak patut berlaku. Jadi kami ke sini untuk memberi sokongan solidariti kepada rider yang akaunnya ditahan dengan membuat laporan polis.
“Kami mahu polis membuka kertas siasatan dan menyiasat secara telus beserta tindakan ke atas pihak bertanggungjawab sepertimana kami buat aduan di balai polis sebentar tadi,” katanya kepada pemberita selepas selesai membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya hari ini.
Semalam media melaporkan insiden seorang penghantar makanan tular selepas menegur dua warga Singapura mengisi minyak subsidi RON95 menggunakan tong mendakwa telah kehilangan pekerjaannya selepas akaun Grab miliknya digantung oleh syarikat penyedia e-hailing berkaitan.
Bagaimanapun, syarikat e-hailng itu dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya telah mengembalikan semula akaun penghantar makanan tersebut selepas siasatan selesai dijalankan semalam.
Dalam pada itu, Penasihat PPRPM, Bryan Ng Yih Miin yang turut hadir untuk sesi laporan polis itu pula menjelaskan pihaknya telah membuat laporan polis mengenai insiden itu sebagai mendesak siasatan polis hari ini.
Menurut Bryan, persatuannya berharap siasatan yang menyeluruh, telus beserta tindakan berlunaskan undang-undang dapat diambil polis ke atas mereka yang bersalah dalam insiden ini.
“Dalam insiden itu dua lelaki warga Singapura itu bukan sahaja melakukan kesalahan membeli minyak bersubsidi yang ternyata mencabar pihak berkuasa kita, dia juga mengasari dan mengugut terhadap penghantar makanan secara terbuka di lokasi kejadian.
“Seksyen 351 Kanun Keseksaan sangat jelas menyebut bahawa tindakan serangan dengan membuat isyarat dan melalui perkataan untuk menggunakan kekerasan terhadap individu adalah sebuah kesalahan yang serius.
“Oleh demikian, kami menyeru pihak berkuasa untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap kedua-dua lelaki warga asing yang terlibat dalam insiden ini, selaras dengan undang- undang yang diperuntukkan,” katanya.
Berhubung kesalahan jualan petrol bersubsidi oleh warga asing serta peranan pengusaha stesen minyak perlu dipandang serius dengan tindakan susulan oleh pihak berkuasa negara ini.
“Tindakan ini melanggar Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan bahawa hanya warga Malaysia sahaja yang dibenarkan membeli dan menggunakan petrol bersubsidi RON 95.
“Kami juga menyeru pihak berkuasa agar memulakan siasatan ke atas pemilik stesen minyak yang terlibat dalam menjual petrol subsidi kepada warga Singapura dengan tindakan yang berat berlunaskan undang-undang,” tegasnya lagi.- MalaysiaGazette