KUALA LUMPUR – Sebanyak RM100 juta dana disasarkan dalam usaha membina pusat penjagaan warga emas bertaraf moden yang lengkap dengan fasiliti dan infrastruktur terancang pada masa akan datang.
Projek tersebut yang menyasarkan golongan kaya itu memerlukan pelaburan maksimum sebanyak RM250,000 seorang di mana ia dijalankan secara kerjasama antara Alphacapital (M) Bhd., Rakyat Trustee Berhad dan Seterra Group of Companies.
Ketua Pegawai Eksekutif Alphacapital, Syed Mahadzir Fadaak berkata, sinergi tiga hala membabitkan entiti itu bukan sekadar membangunkan projek itu namun turut memastikan pelaburan yang dibuat dapat diuruskan secara sistematik, berwibawa dan amanah.
“Peranan Alphacapital (M) Berhad adalah sebagai syarikat pelaburan manakala Rakyat Trustee Berhad pula bertindak sebagai Pemegang Amanah dengan melaksanakan aktiviti seperti infak manakala Seterra Group of Companies mengerakkan projek ini dan mengumpul data pelabur berpontensi.
“Sasaran pelabur kami adalah golongan T20 yang ingin melabur untuk saham akhirat mereka dan ada yang ingin menetap bersama komuniti yang selesa dalam kalangan mereka pada usia emas nanti.
“Apatah lagi Malaysia dijangka mencapai status negara menua pada 2030 apabila 15 peratus penduduk di negara berumur 60 tahun ke atas ” katanya pada majlis memeterai usahasama Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara tiga syarikat itu, baru-baru ini.
Sementara itu, Pengarah Seterra Group of Companies, Raja Dhiyauddin Raja Amir berkata, program itu merupakan satu pilihan kepada warga emas yang berkemampuan untuk tinggal di pusat komuniti moden sekiranya tanggungjawab menjaga mereka tidak dapat dipikul anak-anak.
Jelas beliau, ini kerana terdapat golongan itu yang memilih untuk menetap dengan rakan seusia kerana seronok melakukan aktiviti kerohanian bersama-sama di rumah warga emas yang menyediakan perkhidmatan termasuk menguruskan kebajikan, memantau kesihatan dan melaksanakan aktiviti.
“Konsep rumah warga emas bakal bina bukan seperti yang pusat perlindungan sedia ada. Contoh jika warga emas ini mahu keluar riadah di pusat beli-belah misalnya akan ada pemandu yang mebawa mereka untuk tujuan itu.
“Justeru kediaman berpusat selepas persaraan dilihat sebagai pelaburan yang berpotensi dalam menjana ekonomi negara dan pada masa sama memberi kehidupan yang lebih baik untuk warga emas di Malaysia mungkin juga konsep ini dapat digunakan di peringkat global,” katanya.
Bagi Pengarah Urusan Rakyat Trustee Berhad, Faudzi Mt Din pula berkata, peranan syarikatnya adalah menjadi pemegang amanah yang mengurus dan melaksanakan arahan dan mandat pelabur secara telus, cekap dan sistematik, sekaligus memastikan matlamat asal pelabur untuk tujuan kebajikan terlaksana.
“Pendekatan ini salah satu cara alternatif untuk membantu pelabur menguruskan kewangan mereka yang berhasrat melakukan kerja amal dan membina jambatan pahala melalui pelaburan yang dibuat.” Katanya. – MalaysiaGazette