Khalil Yahya membuat hantaran baharu dalam Facebooknya menyatakan setuju jika Teressa dilantik Pengerusi Felda.

KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubu Gajah, Khalil Yahya secara peribadi bersetuju sekiranya Perdana Menteri melantik Ahli Parlimen Seputeh, Teressa Kok menerajui Felda.

Dalam posting terbaharunya, beberapa jam selepas membuat permohonan maaf berhubung tindakannya berkongsi poster fitnah itu, beliau berkata, Teressa ada pengalaman menjadi menteri yang menjaga sawit satu ketika dahulu.

“Tapikan, kalau benar PMX bersetuju lantik YB Teressa untuk terajui Felda, saya secara peribadi bersetuju, sebab YB Teressa ada pengalaman menjadi menteri yang menjaga sawit satu ketika dahulu.

“Dan keberjayaan semasa menjadi menteri yang menjaga sawit dengan idea, cadangan, tatakelola agak memberangsangkan.

“Salahkah sekira beliau dilantik untuk mengemudi Felda. Lagi pun ada pepatah kuali mengatakan, lebih baik bukan Melayu yang jujur daripada Melayu yagg kleptokrasi, penyamun, rasuah,” tulis beliau secara sinis dalam hantaran Facebooknya, hari ini.

Khalil Yahya ADUN Pas Kubu Gajah

Terdahulu, Khalil dilaporkan membuat posting bahawa beliau dimaklumkan Pengerusi Felda telah ditukar kepada Teresa menggantikan Tan Sri Idris Jusoh.

Beliau membuat hantaran, “Di kawasan DUN Kubu Gajah tempat saya ada Felda Ijok. Ramai sahabat dan kawan saya anak jati Felda tinggal di situ, ada juga yang tinggal di luar kawasan, dan selamat berkhidmat.

Selain itu, wakil rakyat lulusan ijazah sarjana muda dari Universiti Al-Azhar, Mesir itu turut memuatnaik poster ucapan tahniah atas ‘pelantikan’ Teresa.

Bagaimanapun, hantaran tersebut telah dipadam dari akaun rasmi pemimpin Perikatan Nasional (PN) itu.

Serentak itu juga, Teressa dalam kenyataan balasnya meminta ADUN berkenaan mengakui kesilapan, bukan meletakkan kesalahan terhadap pentadbir Facebooknya selepas berkongsi poster yang beliau telah dilantik Pengerusi Felda.

“YB ustaz yang memaparkan berita palsu tentang pelantikan saya sebagai Pengerusi Felda ini tidak harus menolak tanggungjawab kepada admin yang mengelola laman webnya.

“Akuilah itu kesilapannya sendiri! Ini baru jiwa kebertanggungjawaban,” kata Teresa melalui Facebooknya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.