Ketua Pegawai Eksekutif Asia Global Entertainment (International) Sdn Bhd, Datuk Mohammad Alif Hakim yang merupakan penganjur utama acara Hoorrey X Fest Raya akan didakwa atas pertuduhan penipuan pembatalan festival raya Hoorray X Fest di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) ketika hadir ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN 23 JUN 2023.

KUALA LUMPUR – Seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan menipu berhubung penganjuran festival beli-belah Hooray X Fest Raya, dua bulan lalu.

Bagaimanapun, Muhammad Alif Hakim Jamal, 23, mengaku tidak bersalah apabila pertuduhan itu dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Marisqa Khalizan.

Mengikut pertuduhan, Alif Hakim didakwa menipu Siti Wardina Basir dengan memperdayakan mangsa dalam urusan penyewaan tapak Hooray X Fest di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang RM1,500.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di WTCKL pada jam 2.34 pagi 19 April lalu, mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum maksimum penjara 10 tahun dan sebat serta boleh juga dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Alif Hakim yang memakai baju kemeja berwarna putih bercorak daun tiba di Mahkamah Majistret di sini, kira-kira jam 9.25 pagi tadi.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Noraisyah Mohamed Zanyuin menawarkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam Zamri Idrus yang mewakili Alif Hakim memohon jumlah itu dikurangkan kerana anak guamnya menghadapi penyakit buah pinggang dan perlu melakukan dialisis tiga seminggu dengan kos mencecah RM1,050.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, Marisqa kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM3,000 dengan seorang penjamin.

Beliau menetapkan sebutan kes pada 27 Julai ini bagi serahan dokumen.

Media sebelum ini melaporkan karnival jualan sempena Aidilfitri itu yang sepatutnya bermula 18 April lalu di WTCKL dibatalkan pada saat akhir akibat penaja utama menarik diri.

Pada 25 April lalu, pelakon dan penerbit, Boy Iman bersama tiga yang lain dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, atas pertuduhan menipu berhubung penganjuran festival beli-belah Hooray X Fest Raya.

Bagaimanapun, Boy Iman atau nama sebenarnya Noruliman A Rahman, 43; Norazah Sahud, 51; Norzana Rapie, 51; dan Nor Azmi Jantan, 49; mengaku tidak bersalah apabila pertuduhan itu dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Noorelynna Hanim Abdul Halim. – MalaysiaGazette