KUALA LUMPUR – DAP mengingatkan semua pemimpin dan ahli parti untuk sentiasa menjaga keharmonian dalam hubungan antara parti dan gabungan dalam Kerajaan Perpaduan demi kestabilan politik yang amat diperlukan pada ketika negara menghadapi pelbagai cabaran luaran.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menegaskan, sesiapa dalam DAP yang tidak boleh menjaga mulut mereka dalam perkara ini adalah tidak dialu-alukan sama sekali untuk berucap dalam pentas parti tersebut.
“Kepimpinan tertinggi DAP telah membuat keputusan dasar untuk bekerjasama dengan gabungan politik lain demi mencapai kestabilan politik.
“Sebarang kenyataan provokatif terhadap rakan gabungan dalam Kerajaan Perpaduan adalah tidak selari dengan pendirian dan hala tuju parti pada masa kini,” katanya yang merujuk petikan ucapan Tony Pua dalam satu majlis yang dianjurkan oleh DAP Petaling Jaya.
Jelas beliau lagi, Pua sudah tidak lagi memegang apa-apa jawatan dalam DAP.
Justeru itu, beliau bercakap di atas kapasiti individu dan tidak sama sekali mewakili kepimpinan parti.
Dalam ucapan itu, Pua menggelar Barisan Nasional (BN) yang kini bersama Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduan sebagai ‘corrupt coalition’ atau pakatan ‘korup’.
Bekas Ahli Parlimen Damansara membuat kenyataan demikian semasa berucap pada Majlis Makan Malam Mengumpul Dana DAP di perkarangan Dewan Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) turut melabel Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebagai sebuah lagi parti nasionalis Melayu.
Sehubungan itu, Pua menyuarakan harapan supaya Pakatan Harapan (PH) selepas ini dapat membentuk kerajaan sendiri dalam kalangan komponen gabungan itu, tanpa membabitkan UMNO dan BN sekiranya gabungan itu menang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Untuk itu, katanya, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilantik sebagai perdana menteri perlu membuktikan sesuatu kepada rakyat berbilang kaum di negara ini bahawa pentadbiran PH jauh lebih baik dan tidak korup seperti BN.
Pua turut menegaskan Anwar perlu menggunakan kesempatan ketika menjadi perdana menteri untuk menunjukkan kepada rakyat Malaysia serta kepada mereka tidak percaya dengan gabungan politik berbilang kaum bahawa parti berbilang kaum itu sebenarnya bersih dan tidak korup.
“Perlu tunjukkan supaya (rakyat tahu) ia jauh lebih baik jika dibandingkan dengan (parti) berteraskan Melayu, parti nasionalis Melayu seperti UMNO dan Bersatu.
“Itu sebenarnya yang kita nak lakukan bila kita ada peluang lima tahun lagi bermula sekarang, untuk tunjukkan perbezaan. Bila kita berjaya, saya sangat yakin dalam tempoh empat tahun (akan datang) apabila kita adakah PRU, PH akan terima sokongan besar daripada rakyat Malaysia.
“Kemudian, kita akan boleh tubuhkan kerajaan sendiri dan laksanakan reformasi dan perubahan yang kita mahukan di bawah PH demi kebaikan rakyat Malaysia. Itu paling mustahak untuk kita semua,” katanya.,” kata Pua. – MalaysiaGazette