ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid

KUALA LUMPUR – Seorang bekas pemain bola sepak kebangsaan ditahan selepas disyaki menceroboh sebuah bilik hotel yang dihuni seorang wanita di Petaling Jaya, dekat sini, Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita berusia 35 tahun yang mendakwa biliknya diceroboh lelaki berkenaan pada kira-kira 6.10 petang.

“Berlaku perselisihan faham antara mereka dan wanita tersebut meninggalkan hotel untuk menyelamatkan diri mangsa sebelum membuat laporan polis pada 2.10 pagi Khamis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Fakhrudin berkata hasil laporan tersebut, pihaknya menahan lelaki berusia 49 tahun itu pada  pukul 1 tengah hari di Jalan Penchala, Petaling Jaya, hari yang sama.

Katanya, suspek direman sehari (23 Jun) bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan dan dibebaskan dengan jaminan polis.

Beliau berkata, siasatan mendapati wanita terbabit menginap di bilik hotel berkenaan atas urusan kerja dan mengenali suspek tersebut kira-kira setahun lepas.

Terdahulu tular di laman sosial hantaran seorang lelaki yang mendakwa suami mangsa bahawa bekas pemain bola sepak kebangsaan itu telah menceroboh bilik hotel dan bertindak agresif terhadap isterinya. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast