KKDW
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi

SEREMBAN – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) serta agensi-agensi di bawahnya perlu menggunakan pendekatan mengakar umbi dalam menyelesaikan masalah di luar bandar termasuk isu kemiskinan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, segala perubahan yang ingin dibawa oleh kementerian itu harus dirasai oleh rakyat.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menambah, kaedah itu adalah selaras dengan pendekatan yang digunakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menoktahkan kemiskinan.

“Secara langsung KKDW mengambil pendekatan untuk menoktahkan kemiskinan itu bukan hanya dengan melaksanakan program-program sedia ada melalui pemukiman yang telah kami lakukan.

“Tetapi yang lebih penting adalah kumpulan sasaran kami di desa mesti merasai perubahan ini untuk dirasakan oleh akar umbi,” katanya ketika berucap pada program Sentuhan Kasih Desa yang dilancarkan oleh Perdana Menteri di Dataran Nilai sini, hari ini.

Negeri Sembilan merupakan negeri pertama yang menjadi tuan rumah program Sentuhan Kasih Desa anjuran KKDW.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) memberitahu, program termasuk keterjaminan makanan bukan sahaja terhad kepada agensi-agensi di bawah KKDW seperti Felcra dan RISDA.

Malah, katanya, KKDW menjalinkan rangkaian dan hubungan dengan pelbagai jabatan di bawah kerajaan negeri.

“Tujuannya kita tidak boleh lagi mengambil pendekatan silo seperti dahulu, kita mengambil pendekatan kebersamaan dan keberadaan semua jabatan perlu dilakukan,” jelasnya. – MalaysiaGazette