BATU PAHAT – Kolej Kediaman Kampus Pagoh (KKKP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah diiktiraf sebagai Penganjur Kempen Derma Darah Paling Komited peringkat kebangsaan buat kali kedua berturut-turut.

Anugerah tersebut telah disampaikan sempena Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia Peringkat Kebangsaan 2023 dan Ulang Tahun Ke-75 Bulan Sabit Merah yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor pada 18 Jun 2023 lalu.

Menurut penasihat program, Dr. Mohd Faisal Hushim merangkap Timbalan Pengetua 1 KKKP, pihak KKKP telah menerima pengiktirafan yang sama pada tahun lepas, sekali gus menjadikan KKKP sebagai penerima anugerah yang sama untuk kali kedua berturut-turut.

Selain pengiktirafan peringkat kebangsaan, KKKP turut diiktiraf di peringkat negeri Johor sebagai penganjur kempen derma darah dengan kutipan paling tinggi pada tahun 2022.

Pihak KKKP telah berkerjasama rapat dengan Unit Perubatan Tranfusi, Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar bagi menjayakan program derma darah yang bertempat di kawasan kolej kediaman.

“Pihak KKKP dan HPSF meletakkan sasaran sekurangnya satu kali program dijalankan setiap bulan dengan sasaran kutipan beg darah tidak kurang 500 beg setahun.

“Selari dengan tema sambutan tahun ini, ‘Derma Darah, Derma Plasma, Derma Berterusan, Demi Kehidupan’, pihak kami akan terus komited selaku penganjur untuk terus mengadakan kempen derma darah demi kebaikan dan kelangsungan para penerima darah,” katanya.

Pengiktirafan yang diberikan ini secara langsung telah meningkatkan lagi semangat KKKP untuk terus menjadi tunjang utama bagi memastikan stok darah sentiasa dalam keadaan yang optimum. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast