KUALA LUMPUR – Polis mengesan aktiviti skim penipuan pelaburan ‘patuh syariah’ menggunakan gambar-gambar individu ternama untuk menarik perhatian pelabur.
Setiusaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, pelbagai iklan daripada kegiatan itu dikesan di beberapa platform media sosial oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman.
Menurutnya, iklan-iklan yang dipaparkan turut menawarkan keuntungan sehingga 50 kali ganda dari nilai wang yang dilaburkan, malah turut mendakwa akan dibayar seawal tiga jam selepas pelaburan dibuat.
“Lebih membimbangkan, paparan iklan tersebut turut menggunakan gambar individu-individu ternama termasuklah ahli politik, agamawan, selebriti, tokoh korporat dan pempengaruh media sosial.
“Melalui siasatan, individu-individu tersebut tidak terlibat dengan skim pelaburan berkenaan dan tidak pernah memberikan kebenaran untuk gambar-gambar mereka digunakan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Noorsiah berkata, pihaknya turut menerima laporan daripada beberapa individu ternama berkenaan yang mengadu gambar mereka disalahguna oleh skim pelaburan tersebut.
Berdasarkan rekod beliau berkata, sepanjang tahun 2020 sehingga Mei tahu ini sejumlah 186 kes disiasat berkaitan skim penipuan pelaburan patuh syariah seperti itu melibatkan kerugian keseluruhan berjumlah melebihi RM5 juta.
Sehubungan itu, Noorsiah mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan tidak sesekali terpengaruh dengan skim pelaburan yang menawarkan keuntungan terlalu lumayan.
“Lakukan semakan yang terperinci sebelum menyertai mana-mana skim pelaburan dengan mendapatkan maklumat lanjut dari sumber-sumber asmi sepeti portal Semak Mule, Alert List Bank Negara Malaysia (BNM) dan Security (SC) sebelum membuat keputusan untuk menyertai skim pelaburan yang meragukan,” ujarnya. – MalaysiaGazette