Mohd Khalid merasmikan Persidangan Agung Tahunan Sayap Putra kali keempat di Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR – Persidangan Agung Tahunan kali keempat tiga sayap Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) petang ini selesai dengan usul menyokong penuh Ucapan Dasar Ketua Pergerakan Wira, Wiranita dan Wirawati.

Persidangan serentak tiga sayap itu yang dirasmikan Timbalan Presidennya, Tan Sri Mohd Khalid Yunus di Kelab Sultan Sulaiman di sini, pagi ini sebulat suara bahawa polemik masa depan belia wajar didukung dan dihayati oleh pimpinan muda di semua peringkat.

Berikut adalah usul yang dicapai dalam persidangan Wira;

Wira Putra tidak akan apologetik dengan mana-mana individu mahupun kumpulan yang mempersoal, memperlekeh, mempersenda atau apa jua perbuatan khianat yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Wira Putra akan memperjuangkan hal ehwal Islam serta hak-hak orang Melayu dan bumiputera agar terus terpelihara tanpa menafikan semangat harmoni dan hak kaum-kaum lain.

Ini bertujuan untuk dijadikan didikan dan pengetahuan awam kepada generasi milenial yang banyak merujuk maklumat atas talian bagi mengukuhkan kefahaman dan jatidiri berteraskan Fasal 3, 11, 151, 152 dan 153 Perlembagaan Persekutuan yang perlu mereka pertahankan demi masa depan dan keselamatan negara.

Wira Putra mengamati penerapan nilai perpaduan negara adalah bermula dari bangku sekolah rendah, justeru kualiti dan kerjasama antara masyarakat boleh dipupuk melalui pendidikan.

Mewujudkan sekolah satu aliran adalah satu usaha yang murni bagi menjamin masa depan negara yang sejahtera, justeru keistimewaan serta keunikan pelbagai kaum dan etnik di negara ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya.

Kerajaan perlu mengambil langkah pertama dengan segera bagi menyelesaikan kemelut ini dengan mewajibkan semua sekolah peringkat rendah menjadi sekolah aliran kebangsaan, di mana tidak lagi akan berlaku murid seawal usia ini dipecahkan mengikut sekolah, jenis kaum dan dibenarkan Pendidikan Bahasa bagi bangsa tersebut diajar dan dimasukkan dalam silibus mata pelajaran bermula di peringkat menengah.

Menghayati keperihan rakyat masa kini bukan sekadar mempunyai masalah pendapatan, kenaikan harga barang juga menjadi punca rakyat semakin susah dan menderita setiap hari.

Kejatuhan nilai ringgit makin membimbangkan dan tidak menunjukkan ia akan pulih dalam masa terdekat.

Kenaikan harga barang yang melampau dengan alasan tidak munasabah terus menekan rakyat, sedangkan tahap pendapatan isi rumah masih lagi rendah.

Pemantauan tanpa penguatkuasaan dan kegagalan mewujudkan sistem kawalan harga yang menyeluruh termasuk mengambil kira faktor pendapatan rakyat akan mengakibatkan tekanan.

Keterjaminan bekalan makanan melalui pelaksanaan dasar-dasar untuk menyokong petani tempatan dan meningkatkan produktiviti dalam menghasilkan pelbagai produk pertanian, ternakan, dan makanan laut untuk memenuhi keperluan penggunaan domestik akan menyumbang kepada bekalan makanan yang mencukupi dengan harga yang lebih stabil dapat mengurangkan tekanan kos sara hidup rakyat.

Wira Putra menyedari anak muda kini menghadapi situasi yang sukar melihat kepada prospek masa depan pekerjaan tetap yang terjejas teruk dan menyebabkan mereka lebih cenderung untuk mencari wang segera melalui sektor ekonomi gig yang tidak mampan, disebabkan kekurangan peluang pekerjaan yang setara dengan kualifikasi pendidikan.

Kerajaan pusat lebih menumpukan peluang pekerjaan berkemahiran rendah yang hanya merupakan penyelesaian jangka pendek bagi menjana pendapatan dalam kalangan anak muda.

Kekurangan peluang pekerjaaan yang berkualiti bagi graduan yang mempunyai kemahiran sederhana dan tinggi menyebabkan golongan belia terpaksa bersaing dengan pekerja asing yang bergaji rendah dan secara tidak langsung menyebabkan produktiviti dan inovasi buruh negara merundum serta kualiti kehidupan rakyat Malaysia turut menurun.

Justeru, rekonsiliasi ekonomi anak muda terus diperjuang berteraskan keseimbangan pecahan kek ekonomi serta peningkatan kuota belia sehingga 50 peratus dalam bantuan pendanaan projek “kickstarter” bagi menurunkan kadar pengangguran belia disamping melahirkan usahawan muda yang berkemahiran dan inovatif.

Bahawasanya, Parti Putra bukan sahaja sebuah parti yang diwujudkan untuk menjadi kuasa ketiga bagi semak dan imbang kecelaruan kepimpinan politik tanah air semata-mata, malah Putra seharusnya menjadi parti yang membawa sinar dan harapan kepada rakyat khususnya anak muda.

Dengan kebenaran pengundi bermula umur 18 tahun dan daftar pengundi secara automatik pada PRU 15 yang lalu, telah memberi peluang kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya anak muda menjadi sebahagian dalam usaha pembentukan kerajaan yang berintegriti dan berpotensi membangun negara ke arah lebih cemerlang.

Pada masa sama, mencipta peluang melahirkan lebih ramai pemimpin muda yang berpotensi, cakna politik dan memahami isu-isu semasa.

Ini bertujuan memastikan suara untuk membela nasib-nasib anak-anak muda di dalam pelaksanaan atau perancangan sesuatu dasar atau projek atau inisiatif baik dari segi ekonomi, kebajikan, pendidikan, kesihatan dan sebagainya oleh kerajaan akan kedengaran dan di ambil pertimbangan yang sewajarnya.

Antara perwakilan Pergerakan Wira dan Wirawati yang hadir pada persidangan kali keempat sayap parti Putra di Kuala Lumpur.

Sementara itu, Persidangan Agung Pergerakan Wirawati pula mengisytiharkan sebulat suara menyokong penuh dan terima kasih atas ucapan dasar ketuanya dengan membentangkan usul seperti berikut;

Wirawati menghayati perjuangan Putra selama empat tahun ini dan berpendapat satu evolusi dengan teras perjuangan yang sama perlu diterapkan ke dalam jiwa wanita muda melalui apa jua medium semasa.

Penjenamaan atau paparan imej parti adalah sangat penting bagi menarik beliawanis dan ia mestilah diubah kepada imej mesra golongan muda bukan sahaja dalam bentuk pendekatan dan dari segi pemikiran, tetapi paling penting dari sudut kepimpinan bertauladan.

Usia bukan penentu kematangan, berpangkat tidak bererti tahu serba serbi, namun pengalaman dan pendedahan seorang pemimpin itu adalah cerminan jati diri yang perlu diambil kira untuk melengkapkan kepimpinan parti selari dengan perjuangan Putra iaitu untuk memperjuangkan kesejahteraan serta hak orang Melayu dan pribumi masa depan.

Wirawati bertegas agar isu pengangguran khusus graduan wanita muda perlu dipandang serius oleh kerajaan kerana ramai wanita muda hari ini berilmu dan ke hadapan, tetapi peluang dan pasaran kerja yang ditawarkan masih mempunyai jurang di antara kaum lelaki dan wanita.

Jumlah graduan wanita yang terlalu ramai mengakibatkan mereka terpaksa bersaing untuk peluang pekerjaan yang terhad dan terpaksa melakukan pekerjaan yang tidak setara dengan kualifikasi pendidikan.

Jawatankuasa khas kelolaan bersama Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Sumber Manusia perlu diwujudkan bagi menangani isu ini dengan segera.

Wirawati menyedari kefahaman dan kecelikan kepentingan melanjutkan pelajaran bagi pelajar lepasan SPM semakin menurun, selain daripada tekanan kos sara hidup yang menekan dan kehendak anak muda yang meluap untuk menjalani gaya hidup moden dan serba mewah mengakibatkan mereka tidak ambil berat tentang masa depan mereka.

Pertubuhan Buruh Antarabangsa telah memberi amaran bahawa anak muda hari ini sedang berada dalam krisis pekerjaaan disebabkan keperluan tenaga buruh atau pekerjaan yang ditawarkan tidak sejajar dengan minat mereka disebabkan oleh kerajaan pusat yang lebih menumpukan peluang pekerjaan berkemahiran rendah seperti ekonomi gig dengan tawaran upah secara harian.

Hal ini perlu ditangani segera oleh Kerajaan dan perlunya kesedaran ibu bapa bagi mengelakkan kurangnya tenaga mahir tempatan yang kompeten pada masa depan yang akhirnya akan merugikan negara. – MalaysiaGazette