KLANG – Parti Amanah Negara (Amanah) akan mempertahankan enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.
Presidennya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, dalam rundingan pengagihan kerusi itu, Amanah menyatakan kepada Majlis Presiden Pakatan Harapan (MPPH) bahawa parti itu akan bertanding di kerusi yang ditandinginya pada PRU14 tahun 2018.
Bagaimanapun, katanya, beliau tidak pasti sama ada dipersetujui MPPH atau sebaliknya, kerana belum mendapat keputusan rasmi mengenai jumlah pembahagian kerusi bagi DUN Selangor.
“Mengenai pembahagian kerusi pula ada satu dua yang bertindih, nanti MPPH akan selesaikan. Tetapi, setakat hari ini sebanyak 95 peratus selesai.
“Untuk kerusi Amanah bertanding di Selangor saya sendiri tak pasti lagi berapa dapat, sekurang-kurangnya kerusi yang kita menang PRU14 dulu akan ditandingi Amanah. Bertambah atau kurang, saya tak pasti,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kompleks Sukan dan Ulang Tahun 89 Arena ke-11 di 89 Arena Sdn. Bhd di sini, hari ini.
Mohamad atau Mat Sabu berkata, PH telah melancarkan jentera pilihan rayanya malam tadi untuk 56 DUN dan hari ini, mula bergerak ke kawasan masing-masing.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Raja berharap, rakyat akan kekal memberi sokongan kepada PH dalam PRN ini.
Ditanya mengenai Pengerusi Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang begitu komited akan mengambil alih negeri itu, Mat Sabu berkata, itu hak bekas Ahli Parlimen Sri Gombak.
“Itu hak dia nak bercakap. Saya pembangkang dulu pun macam tu juga. Itu hak dia nak bercakap apapun,” katanya ringkas. – MalaysiaGazette