KLANG – Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu memberi jaminan harga beras tempatan tidak akan naik, malah kekal pada RM2.60 sekilogram.
Beliau berkata, ura-ura kenaikan ialah harga beras import yang bukan dalam kawalan kerajaan.
Katanya, Ketua Pengarah Pengawalan Padi dan Beras akan keluarkan kenyataan mengenainya.
“Setakat ini, kalau berlaku kenaikan harga beras ialah beras import. Harga beras tempatan tetap dikawal dengan RM2.60 sekilogram.
“Beras import kita tak kawal harga. Ia ikut kemampuan orang yang membelinya. Tapi, kalau beras tempatan memang terkawal.
“Kita serahkan kepada pegawai berkaitan untuk libat urus perkara ini. Kalau ada masalah, mereka turun dan berdialog dengan pihak berkenaan seperti penanam padi dan persatuan peladang,” katanya selepas merasmikan Kompleks Sukan 89 Arean di sini, hari ini.
Mengenai bekalan barangan menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha, Mat Sabu berkata, semuanya terkawal sebagaimana pada perayaan Aidilfitri April lalu. – MalaysiaGazette