KUALA LUMPUR – Sebuah kereta Produa Beaza yang diparkir di hadapan Balai Polis Sungai Jarom, Jenjarom, Selangor dirempuh kereta yang dipandu seorang remaja malam ini.

Akibat daripada rempuhan itu, kereta Bezza tersebut bergerak ke hadapan dan terlanggar tembok pagar batu balai polis itu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila kereta  Perodua Myvi yang dipandu remaja berusia 19 tahun hilang kawalan semasa membelok ke kiri lalu terbabas ke bahu jalan sebelah kiri sebelum terlanggar kereta Perodua Bezza itu.

“Remaja itu yang memandu Myvi tidak mengalami sebarang kemalangan dengan ujian air kencing terhadapnya adalah negatif.

“Semakan mendapati pemandu itu bagaimanapun tidak mempunyai lesen,” katanya dalam kenyataan sambil menambah remaja tersebut bekerja sebagai pembantu kedai.

Menurut Ahmad Ridhwan, kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat, Sarjan Nur Farhana Abdullah di talian 013-2065466 atau 03-31872222. – MalaysiaGazette