BACHOK – Yayasan Bank Rakyat (YBR) tampil menyampaikan sumbangan kewangan kepada pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022, Muhammad Syahril Saidi untuk melanjutkan pengajian ke peringkat universiti.
Sumbangan kepada pelajar yang baharu kehilangan ibu dan kini bergelar yatim piatu itu disampaikan Pengurus Besar Yayasan Bank Rakyat (YBR), Syaiful Rizal Abdul Ghani di rumahnya di Kampung Kandis, dekat sini, semalam.
Menurut Syaiful Rizal, bantuan kewangan itu bagi membiayai keperluan harian dan sebagai persediaan masuk ke institut pengajian tinggi
Katanya, YBR terpanggil untuk membantu Muhammad Syahril selepas mendengar berita beliau mendapat keputusan cemerlang 11A dan sekali gus turut kehilangan ibu tercinta.
“Dengan bantuan ini, kita harapkan dapat membantu mengurangkan bebanan serta duka yang ditanggung oleh adik Muhammad Syahril serta sebagai pendorong untuk meneruskan pengajian yang lebih cemerlang di peringkat tertinggi.
“Lagi pun, Muhammad Syahril juga kehilangan ayah sejak 11 tahun lalu dan menerusi bantuan ini akan memudahkan beliau memulakan pengajian dalam bidang yang diceburi,” katanya.
Turut hadir, Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.
Kata Syaiful Rizal, YBR mendoakan Muhammad Syahril dan keluarga serta anak yatim yang lain dapat menjalani kualiti kehidupan lebih baik, mendapat lindungan Allah dan juga dipermudahkan segala urusan kelak.
Pada tahun 2022, YBR memperuntukkan hampir RM500,000 bagi pemberian sumbangan dalam membantu mereka yang kurang bernasib baik serta bertujuan untuk meningkatkan kesejahteraan sosio-ekonomi penerima melalui pembangunan pendidikan, pemerkasaan masyarakat serta bantuan penjagaan kesihatan. – MalaysiaGazette