KUALA LUMPUR – Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali memberi bayangan kepada rakan Perikatan Nasional (PN) agar tidak lupa kepada parti kecil seperti Putra, Pejuang, Berjasa dan NGO dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.
Presiden Putra itu berkata, dalam perjumpaan Tun Dr. Mahathir Mohamad bersama pimpinan tertinggi PN baru-baru ini berbincang untuk bagaimana mengelakkan daripada berlaku pertandingan banyak penjuru.
Sebolehnya, tegas beliau, PRN ini dan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang hanya menyaksikan pertanding satu lawan satu.
“Untuk realisasikan hasrat ini, kita semua kena bersatu sama ada dalam perpaduan ummah atau kesatuan ummah. Kita tidak boleh berbincang dengan cakap mulut sahaja.
“Sedikit sebanyak kena ada caranya, sebab manusia ini macam mana idealismenya sekalipun ada juga perkara yang tersangkut,” katanya dalam ucapan perasmian Persidangan Agung Tahunan Putra kali keempat di sebuah hotel, di sini, hari ini.
Turut hadir, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin; Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; dan Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Menurut Ibrahim, erti kata sebenar penyatuan ummah dalam PN ialah turut memberi peluang kepada parti kecil seperti Putra, Pejuang, Berjasa serta NGO bertenggek sama dengan yang lain dalam erti kata sebenar.
Kalau tidak, katanya, ia hanya sekadar cakap-cakap politik sahaja seperti manusia yang berjanji tetapi tidak tepati.
“Kita harus realisasikan keikhlasan ini dalam pakatan ini. Kita dari parti kecil bukan tamak pun. Dalam banyak-banyak (kerusi) takkan tak dapat (untuk) seorang.
“Takkan kita nak jadi tukang sorak, nak jadi penjaga garisan saja, tak boleh begitu. Saya tak apalah, tak jadi (calon) pun saya lawan. Tapi yang lain-lain tu bagaimana?
“Sebab itu saya menyeru kepada Hamzah, bercakaplah dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Takiyuddin cakaplah dengan Tan Sri Abdul Hadi Awang, tolong terjemahkan konsep penyatuan ummah ini untuk kekuatan kita,” katanya.
Kata Ibrahim, kalau hasrat itu dapat diterjemah dan dilaksanakan, maka membujur lalu melintang patah, namun jika tidak berjaya, beliau tidak akan menjadi pengkhianat.
“Sebab agenda kita yang pertama ialah agama, bangsa dan negara. Cuma, kalau dalam bab persilatan, daripada 10 langkah, tinggal satu langkah sahaja.
“Tetapi, kalau kena caranya, jiwa dan raga aku sanggup serahkan. Kalau tak kena gaya, kamu berlawan dan bertandinglah seorang diri, aku duduk di rumah tengok televisyen,” katanya. – MalaysiaGazette