Amira Aisya Abd Aziz

KUALA LUMPUR – Gesaan Timbalan Presiden MUDA Amira Aisya Abdul Aziz agar Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon maaf kerana meminta nombor telefon seorang pelajar wanita mengundang komen negatif termasuk bersifat seksis.

Rata-rata netizen yang tidak bersetuju dengan gesaan berkenaan mendakwa Amira Aisya bertindak demikian kerana Ahli Dewan Undangan Negeri Wangsa Puteri itu tidak mendapat perhatian daripada Perdana Menteri.

Malah ada yang melemparkan komen bersifat peribadi dan menghina terhadap Timbalan Presiden MUDA tersebut.

“@anwaribarahim saya nasihatkan lain kali jangan minta nombor perempuan lain. Minta nombor @_amiraaisya je. Dia sentap tak dapat perhatian,” kata Jonathan.

“Yang kau suruh minta maaf tu mesti sebab orang tak pernah minta nombor telefon kau kan. Tu yang kau jeles. Tapi tengok kau pun memang tak ada lelaki teringin minta nombor telefon kau,” komen Muhamad Naim.

“Rayah rasa la tak ada lelaki pun pernah minta nombor telefon @_amiraaisya. Sebab itu dia cemburu bila PMX minta nombor telefon orang perempuan. Kau orang mengurat la dia, kesian dia tak ada orang nak minta nombor telefon,” kata Abdul Rani Kulup Fans.

“Aku syak kau meroyan sebab nak sangat orang minta nombor dengan kau. Kebodohan yang nyata,” kata Mirul.

Komen-komen berkenaan dikongsi sendiri Amira Aisya di Twitternya dan menyifatkan golongan berkenaan langsung tidak mahu belajar untuk menghormati kaum wanita.

Menurut ADUN Wangsa Puteri itu, kumpulan berkenaan telah menampilkan sisi lemah mereka kepada masyarakat.

“Ini adalah antara banyak komen yang (bermaksud) sama saya terima.

“Saya kesian tengok saudara yang memang takkan pernah sudi belajar untuk hormati wanita. Anda fikir anda cool tetapi sebenarnya anda ternyata lemah,” ciap Amira Aisya di Twitter.

Sebelum itu beliau berkata, Perdana Menteri akan memberikan teladan yang baik sekiranya tampil memohon maaf atas gurauannya meminta nombor telefon pelajar wanita yang disifatkan sebagai meremehkan kaum tersebut.

Amira berkata, pihak yang menganggap kejadian itu sebagai “hanya gurauan” kebanyakannya “lelaki lebih tua” yang tidak faham mengapa wanita tidak tersenyum atau ketawa apabila mendengar kenyataan sedemikian.

“PMX (Anwar) mungkin berseloroh dan tak ada niat jahat. But it is still done in bad taste (Tapi ia tetap kenyataan yang tidak wajar).

“Sebab tu baik untuk beliau mohon maaf sebagai teladan baik untuk lelaki lain seperti kamu untuk faham yang benda ni tak elok,” katanya.

Amira berkata, sekiranya Anwar kagum dengan gadis berkenaan, dia boleh memuji tanpa membuat kenyataan yang menggalakkan sikap melihat wanita sebagai objek.

Dalam program ‘Temu Anwar’ di Universiti Sains Islam Malaysia, Perdana Menteri memuji pelajar wanita Tingkatan 6 kerana petah mengemukakan soalan dan berseroloh mahu meminta nombor telefon sekiranya beliau masih muda.

“Jika saya lebih muda, saya akan meminta nombor anda,” katanya sebelum menjelaskan bahawa dia hanya bergurau.- MalaysiaGazette

MUDA gesa PM mohon maaf kerana minta nombor telefon pelajar wanita