Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia)
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia)

KUALA LUMPUR – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan meningkatkan rondaan dan pemantauan di perairan negara bagi mencegah jenayah rentas sempadan pada sambutan Aidiladha minggu ini.

Pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful
Lizan Ibrahim berkata, antara kesalahan jenayah yang diberi fokus adalah pencerobohan bot nelayan asing dan penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Bagi tujuan itu, sejumlah 236 aset terdiri daripada 70 kapal, 166 bot dan tujuh pesawat sudah diatur gerak bagi melaksanakan rondaan dan pemantauan khususnya di kawasan perairan sempadan negara.

“Selain itu, penugasan keanggotaan melibatkan seramai 4,331 pegawai dan anggota yang menzahirkan erti pengorbanan apabila sanggup berjauhan dengan keluarga masing-masing demi menjaga dan memelihara keselamatan perairan negara sempena sambutan Aidiladha pada kali ini,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, pelbagai elemen turut diberikan tumpuan oleh APMM dengan membendung aktiviti jenayah seperti penyeludupan barangan kontraband, pemerdagangan manusia dan juga rompakan di laut.

Sementara itu, Saiful Lizan memberitahu, sebanyak 43 bot nelayan asing ditahan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini selain menumpaskan 50 aktiviti penyeludupan dan  pelbagai tangkapan lain dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan bernilai hampir RM67 juta. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast