SUBANG – Kesemua 49 negara yang menganggotai Pertubuhan Akademi Kebangsaan Biro Siasatan Persekutuan (FBINAA) Asia Pasifik perlu mempunyai satu set undang-undang seragam menangani jenayah termasuk keganasan serantau dan penyeludupan dadah.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, cadangan itu wajar dibincangkan dan mendapat perhatian Amerika Syarikat (AS) secara serius sebagai pengasas FBINAA.
“Dengan adanya 49 negara yang menganggotai FBINAA di Asia Pasifik,maka wujud keperluan untuk membentuk satu set undang-undang yang seragam untuk menghapuskan aktiviti haram seperti keganasan transnasional serantau, dadah, jenayah siber, hak sivil, jenayah kolar putih, aktiviti jenayah rentas sempadan dan pemerdagangan manusia.
“Keadaan hari ini tidak memberikan sebarang ruang untuk kita bersikap sambil lewa dalam menangani masalah tersebut dan tanpa kerjasama yang sewajarnya untuk memerangi unsur negatif di sempadan kita, ia akan membuka lebih banyak peluang kepada aktiviti haram berleluasa terutamanya jenayah rentas sempadan, penyeludupan dadah dan manusia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Persidangan FBINAA Asia Pasifik ke-23 di Hotel Sunway Resort hari ini.
Turut hadir, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain; Presiden FBINAA Antarabangsa, Tim Braniff; Penolong Pengarah Divisyen Operasi Antarabangsa FBI, Raymond P Duda; Duta Besar Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia, Brian D McFeeters; dan Timbalan Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor.
Tambah Menteri Kemajuan Wilayah dan Desa itu, Malaysia sendiri sudah dan sedang mengalami situasi berkenaan sebagai negara yang berada di enklaf Asia Tenggara, ia terdedah kepada pelbagai aktiviti haram sejak bertahun-tahun.
Dalam ucapannya, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga menjelaskan dalam pertemuannya dengan bekas Setiausaha AS, Rex Tillerson pada tahun 2017 – kedua-dua pihak bersetuju semua 49 negara perlu menjalin kerjasama memperkenalkan satu set undang-undang yang sama.
“Dalam soal ini dadah juga adalah isu utama di negara ini yang mana Jabatan Perangkaan melaporkan bahawa terdapat 108,220 kes berkaitan dadah dan 129,604 tangkapan berkaitan dadah pada 2021,” katanya.
Bagi kes yang berkaitan pembekal dadah dan jumlah tangkapan berkaitan, terdapat trend meningkat daripada 14,823 pada 2020 kepada 16,629 kes pada 2021 dan daripada 23,536 pada 2020 kepada 25,277 kes pada 2021.
Ahmad Zahid menegaskan, kerajaan kini banyak memberikan tumpuan kepada aspek pencegahan dengan membelanjakan kos kewangan yang tinggi sedangkan peruntukan berjumlah besar itu boleh digunakan untuk membiayai projek rakyat.
“Di Malaysia, masalah pemerdagangan manusia rentas sempadan laut yang semakin meningkat ketika ini sekaligus memberikan cabaran yang serius dan tekanan yang meningkat ke atas agensi yang ditugaskan untuk mengawal laut Malaysia.
“Kelemahan timbul daripada peningkatan perdagangan maritim dan globalisasi ekonomi memudahkan pengembangan dan intensiti jenayah transnasional membabitkan pendatang melalui perairan kerana ianya murah dan sukar dikesan,” katanya.
Menurut beliau, usaha memperkukuh keselamatan sempadan melalui pengawasan maritim yang lebih besar, operasi keselamatan dan penambahbaikan teknologi adalah penting dalam menangani cabaran keselamatan bukan tradisional ini.
Malangnya katanya beliau usaha itu tidak mencukupi untuk membanteras kegiatan itu yang kini menunjukkan trend peningkatan terutamanya ekoran krisis ekonomi global. – MalaysiaGazette