KUALA LUMPUR – Seorang pegawai polis wanita yang sebelum ini kontroversi memarahi anggota polis berpangkat rendah dan orang awam hingga klip videonya tular di media sosial didakwa di Mahkamah Majistret Selayang hari ini.
Penjawat awam itu yang lebih dikenali sebagai Inspektor Sheila digantung tugas sejak minggu lalu berdepan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atua kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Tertuduh, Sheila Sharon Steven, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Chai Gua Hock.
Mengikut pertuduhan pertama, Sheila Sharon melakukan ugutan jenayah ke atas Silverkoomarie Muthiah, 69, dengan niat untuk mendatangkan kegentaran kepada wanita warga emas terbabit.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di No.8, Jalan SG 1/1, Taman Sri Gombak dekat sini kira-kira pukul 12 tengah hari pada 15 Jun lalu.
Bagi kesalahan Seksyen 506 Kanun Keseksaan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Mengikut pertuduhan kedua pula, Sheila Sharon dengan niat menghina kesopanan dengan berkata “You tengok badan you, gemuk, botak dan badak sumbu” terhadap Taneswaran Palaraman, 40, di No. 8, Jalan SG 1/1, Taman Sri Gombak kira-kira jam 1 tengah hari pada 15 Jun lalu.
Bagi pertuduhan kedua, Sheila Sharon melakukan kesalahan di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu, Sheila Sharon yang memakai t-shirt berwarna kelabu berjaket hitam tiba di mahkamah bersama peguamnya, M. Manoharan dan M. Hariharan kira-kira pukul 8.55 pagi tadi.
Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nur Iman Wan Ahmad Afzal menawarkan ikat jamin berjumlah RM8,000.
Bagaimanapun, peguam M.Manoharan memohon mahkamah agar memberikan jaminan bon atau jaminan paling rendah.
Ini kerana selain Sheila dan adiknya, bapanya juga seorang bekas pegawai polis berjawatan asisten komisioner dan berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama 39 tahun.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin.
Majistret juga menetapkan 7 Ogos ini sebagai tarikh serahan dokumen kes tersebut. – MalaysiaGazette