Dr Ong Kian Ming
Ong Kian Ming

KUALA LUMPUR – Penggunaan naratif ‘gelombang hijau’ yang merujuk Perikatan Nasional (PN) perlu dihentikan kerana tidak tepat untuk menggambarkan situasi sebenar.

Bekas Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, Ong Kian Ming berkata, naratif itu berbahaya kerana boleh meningkatkan Islamofobia.

“Sikap ini berleluasa di kalangan beberapa segmen masyarakat bukan Melayu dan luar negara.

“Sentimen sebegini amat tidak membantu terutamanya dalam memahami tuntutan berbeza masyarakat Melayu yang semakin pelbagai di Malaysia,” jelasnya dalam artikel yang disiarkan di laman sesawang Fulcrum.

Selain itu, menurut Kian Ming, jika sentimen agama menjelaskan keuntungan PN maka tindak balas Kerajaan Perpaduan untuk mengatasinya adalah juga dengan mengunakan retorik agama dan dasar berkaitan.

Naratif gelombang hijau juga akan membawa tindakan mengabaikan orang Melayu pertengahan yang meninggalkan UMNO tetapi mungkin masih kembali menyokong parti itu jika ada hala tuju yang lebih jelas ke hadapan.

Kian Ming berkata, terdapat terdapat lima faktor bahawa naratif gelombang hijau tidak tepat.

Pertama, ia mengabaikan keuntungan ketara yang diperoleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia daripada 13 kerusi Parlimen pada PRU14 kepada 30 kerusi pada PRU15 yang merangkumi kerusi di banyak kawasan seperti Tasek Gelugor (Pulau Pinang), Padang Rengas (Perak), dan Masjid Tanah (Melaka) di mana pengaruh Pas tidak ketara.

“Kedua, ia tidak mengendahkan kelebihan yang dinikmati Pas menggunakan kain rentang PN untuk kempennya di negeri luar Kelantan dan Terengganu. Pas dapat menembusi kubu kuat UMNO seperti Kepala Batas di Pulau Pinang dan Pasir Salak di Perak.

“Ketiga, ia mengalihkan perhatian daripada sebab utama peningkatan undi untuk PN. Kejatuhan teruk dalam sokongan kepada UMNO di semua negeri di Semenanjung Malaysia kecuali Negeri Sembilan dan Johor. Rasa tidak senang hati terhadap UMNO dan khususnya kepimpinan (Datuk Seri) Ahmad Zahid Hamidi yang membolehkan PN mendapat manfaat daripada rasa tidak puas hati,” jelasnya.

Tambahnya, untuk mengaitkan gelombang hijau dengan pengaruh sekolah tahfiz yang hanya membentuk sebahagian kecil iaitu kurang daripada satu peratus atau kira-kira 50,000 daripada enam juta pelajar merupakan satu analisis yang silap.

Katanya, naratif berpusatkan di Semenanjung itu juga mengabaikan corak pengundian di Sabah dan Sarawak yang merupakan 25 peratus daripada jumlah kerusi Parlimen di mana Pas dan Bersatu gagal mencapai sebarang kemajuan yang ketara dalam PRU15.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast