Hishamuddin Hashim

KUALA LUMPUR – Kira-kira 70 ketua penduduk yang mewakili ribuan masyarakat pelbagai kaum dan etnik  lima daerah di Sabah menuntut campur tangan Perdana Menteri supaya tidak merampas tanah adat yang mereka diduduki sejak ratusan tahun.

Mereka yang terbang ke ibu kota hari ini mahu Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi sekian lama.

Menurut Setiausaha MHO, Datuk Hishamuddin Hashim, selepas perbincangan dan mengambil kira aduan sebelum ini tidak dilayan, pihaknya bersama wakil penduduk akan menyerahkan satu memorandum kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Memorandum itu akan diserahkan pada Rabu ini pukul 11 pagi di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya.

Jelas Hishamuddin, penduduk yang terlibat dengan isu itu datang dari daerah Tongod, Kunak, Kundasang, Nabawan dan Keningau apabila tanah adat mereka didakwa mahu ‘dirampas’ oleh kerajaan Sabah.

“Mereka datang berjumpa pihak kami untuk membantu mereka menuntut hak tanah yang ‘dirampas’ secara tidak berperikemanusiaan oleh pihak ketiga.

“Mereka ini adalah penduduk kampung tanah adat di Sabah yang dibelenggu permasalahan ini apabila status pendudukan mereka di tanah tersebut telah dicabar dan hak mereka tidak dipertahankan.

“Sedangkan mereka ini telah menghuni serta mengguna tanah-tanah tersebut sejak sekian lama dan berhak kepada tanah-tanah adat tersebut,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Menurut Hishamuddin, antara permasalahan dan isu yang berlaku kepada penduduk ialah tanah adat yang cuba dikacau ganggu oleh pihak berkaitan.

Masalah juga timbul apabila ada pemilikan tanah yang meragukan dan penduduk telah membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Sabah.

“Masalah ini berlaku di kampung di daerah Tongod manakala di Kunak pula berlaku isu pembatalan permohonan tanpa sebab tanah di Kampung Madai Baturung berdasarkan surat daripada Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Sabah.

“Begitu juga di Keningau dan Nabawan, penduduk mendapati berlaku pemansuhan geran komunal selain di Ranau pula, tanah diusahakan penduduk kampung yang merupakan bumiputera Sabah tetapi belum ada pengeluaran geran yang dilakukan.

“Jadi, mereka mahu perkara ini diselesaikan dengan mengemukakan aduan ini kepada Ketua Menteri Sabah, tetapi tiada tindakan diambil sehingga kini,” katanya.

Justeru, wakil penduduk itu hadir ke semenanjung untuk menuntut dan memperjuangkan hak mereka kerana isu penindasan yang dihadapi telah berlarutan untuk satu jangka masa yang lama.

Namun sehingga kini tiada sebarang penjelasan yang kukuh atau munasabah diberikan di atas kejadian isu penindasan yang berlaku terhadap mereka. – MalaysiaGazette