KUALA LUMPUR – Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar bertekad tidak akan melepaskan pihak yang menyebarkan fitnah terhadap dirinya di media sosial.
Beliau berkata, cacian dan makian sudah menjadi kebiasaan terhadap dirinya sejak menyertai politik namun menetapkan setiap perbuatan perlu ada sempadan.
“Dalam menjalankan amanah yang diberi, sering kali kita dicerca dan dicaci. Saya menyertai perjuangan ini sejak 1998 dan sememangnya sedari dulu, kami dicerca, diselar dan diserang. Jelas, ada batasnya.
“Cacian dan makian boleh saya hadap dalam menjalankan kerja membina negara tetapi fitnah tidak akan sekali saya biarkan,” katanya dalam satu kenyataan di media.
Nurul Izzah mengulas mengenai satu klip video di TikTok yang didakwa memfitnah kononnya beliau terlibat dalam penyelewengan.
Beliau yang merupakan Sekretariat Jawatankuasa Penasihat Menteri Kewangan yang dipengerusikan oleh Tan Sri Mohd Hassan Marican berkata, satu laporan polis terhadap sebaran video berkenaan telah dibuat.
“Apa pun yang saya lakukan hatta tidak berkait sekal pun dengan penyalahgunaan kuasa atau pun dana kerajaan, tidak menolak pihak pembangkang yang terus menyebar fitnah – terutamanya dengan bahan kosong yang menyentuh kredibiliti dan integriti saya.
“Satu laporan polis telah dibuat ke atas penyebar fitnah yang berkenaan. Saya percaya dengan sistem perundangan negara agar tindakan dapat diambil ke atas mereka,” tegas Nurul Izzah.
Beliau yang merupakan anak sulung Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar menegaskan, Malaysia tidak akan maju dan berjaya sekiranya dunia politik terus dicemari dengan budaya fitnah dan adu domba.
Beliau berharap politik Malaysia berubah menjadi lebih baik dengan berlandaskan politik nilai dan dasar.
“Semoga Allah SWT terus memberi petunjuk kepada kita semua, khususnya kepada mereka yang amat gemar memetik nama Yang Maha Esa,” katanya.
Dalam hantaran di Facebook Nurul Izzah turut berkongsi satu laporan polis yang telah dibuat terhadap video berkenaan.
Menurut laporan itu, video yang memaparkan seorang wanita memakai tudung labuh menyebut ‘Nak sakau duit pun tanya Nurul Izzah dan beliau juga menyatakan bahawa nak buat projek tanya Nurul Izzah’.
Pengadu merasakan kandungan video berkenaan membuat tuduhan serius, jahat dan fitnah terhadap Nurul Izzah.-MalaysiaGazette