SHAH ALAM – Jika mendapat tempat bersama Perikatan Nasional (PN), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) akan turun memberi kerjasama memastikan kemenangan berpihak kepada gabungan itu dalam PRN ini.
Ketua Penerangan Putra Selangor, Mohamed Shahrin Ismail berkata, jaminan itu terkandung dalam impak gagasan ‘Kebangkitan Melayu Selangor’ yang dilancarkan Pengerusi Badan Perhubungan Putra negeri, Datuk Asmawar Samat.
Kata beliau, kemenangan itu nanti akan memastikan hak umat Islam dijaga sepertimana 10 usul yang telah disokong dalam Persidangan Tahunan Putra kali keempat Ahad lalu menerusi ‘Perisytiharan Umat Islam’.
“Perisytiharan itu telah dibentangkan wakil Putra Selangor, Dr. Mohammad Fairus dan disokong Exco Pergerakan Wira Putra, Dr. Mohammad Izwan,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Sementara itu, Putra negeri mengucapkan tahniah kepada barisan kepimpinan baharu pusat atas pelantikan Ahli Jawatankuasa (AJK) bagi sesi 2023-2026.
Ujar beliau, Putra negeri itu dan seluruh negara amnya akan memberi sokongan penuh dalam gerak kerja yang direncana dan bakal dilaksanakan barisan kepimpinan baharu itu.
Katanya, dalam persidangan itu, perwakilan sebulat suara mengekalkan Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali sebagai presiden mengikut Perlembagaan Parti Putra Fasal 9.1.4(9.3) dan Fasal 9.1.4(1.4)(C).
“Putra Selangor mengucapkan tahniah kepada semua lantikan yang dipilih dan juga kepada semua perwakilan dari seluruh negara dengan semangat perjuangan yang tinggi.
“Dua rangkap pantun kepada semua perwakilan, cantik di pandang bulan mengambang, bulan mengambang terang di awan, kalaulah hidup namanya orang, tak akan lari dari ujian dan rintangan.
“Tahniah kepada semua perwakilan, empat tahun Putra bertarung di medan, ilmu di dada menjadi bekalan, berkhidmat untuk masyarakat, sahabat dan taulan,” katanya.
Barisan kepimpinan baharu Putra bagi sesi 2023-2026 ialah Datuk Dr. Aziz Jamaludin Mohd Tahir (Timbalan Presiden), tiga Naib Presiden iaitu Datuk Asmawar Samat@Samad, Jefrus@Maimin Rijan dan Mohamad Nasir Abdullah.
Seramai 15 Ahli Dewan Tertinggi (ADT) yang dipilih ialah Datuk Dr. Muhammad Fairus Khairuddin (Selangor), Mohd Nasir Othman (Pulau Pinang), Mohd Fauzi Zulkifli (Perak), Hamzah Abd. Rahman (Kedah), Dr. Zawawi Sulong (Terengganu), Che Mohd Asemari Che Ali (Kelantan) dan Datuk Kamarul Airi Arifin (Wilayah Persekutuan).
Turut dipilih ialah Nur Amani Ibrahim dari Selangor, Datuk Ramle Mat Daly (Labuan), Omar Jaafar (Selangor), Dr. Mohamad Izwan Zainal (Wilayah Persekutuan), Datuk Mazlan Hashim (Selangor), Lokman Hakim Abdul Halim (Wilayah Persekutuan), Mohd Tahir Kassim (Pahang) dan Norliza Mat Dewa (Selangor).
Tiga ketua sayap yang dipilih sebagai ADT ialah Ketua Wira, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif; Ketua Wirawati, Laila Norinda Maon; dan Ketua Wiranita, Nurhafizah Jamalludin.
Manakala ADT lantikan, Muhammad Fazreen Johari (Naib Ketua Wira), Juita Mustafa (Naib Ketua Wiranita), Datin Munirah Abd. Manap (Naib Ketua Wirawati), Brig. Jeneral (B) Adnan Abu Hassan dan peguam, Zarina Zainal Abidin.
Lantikan biro politik Putra pula, Rosdi Idris sebagai Setiausaha Agung dan Mohamad Shahrulufti Mohamad Sharif (Ketua Penerangan).
Pengerusi Tetap Putra disandang Razali Hussain dan Timbalan Pengerusi Tetap, Nor Zamshuri Ramli. – MalaysiaGazette