KUALA LUMPUR – Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar pagi ini menghadap Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.
Kenderaan rasmi beliau dirakam memasuki Istana Syarqiyyah di Kuala Terengganu pukul 8.38 pagi tadi.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang itu masuk menghadap bagi memohon perkenan baginda bagi membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Ia sekaligus untuk memberi laluan kepada pilihan raya negeri (PRN).
DUN Terengganu mempunyai 32 kerusi. yang mana 22 daripadanya dipegang oleh Pas manakala baki 10 lagi oleh Barisan Nasional (BN).
Menerusi hantaran di Facebook, Ahmad Samsuri secara ringkas mengharapkan doa agar urusannya dipermudahkan.
Beliau turut memuat naik gambarnya di dalam kenderaan sambil menunjukkan isyarat bagus.
“Bismillah…Semoga dipermudahkan urusan InsyaAllah,” katanya. – MalaysiaGazette