KUALA LUMPUR – Polis Kuala Lumpur akan menjalankan operasi bersepadu bersama agensi penguatkuasaan lain secara besar-besaran selama sebulan mulai 1 Julai ini, bagi membendung pelbagai kesalahan jalan raya.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zin berkata Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik akan bekerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk melaksanakan operasi tersebut.
“Operasi ini akan melibatkan kekuatan kira-kira 1,000 orang terdiri daripada pegawai dan anggota Polis Kuala Lumpur serta dibantu oleh agensi tersebut dalam menjalankan tugas operasi dengan memberikan perhatian terhadap kesalahan-kesalahan di bawah akta agensi itu sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Operasi Hormat Undang-Undang Jalan Raya Polis Kuala Lumpur bersama agensi penguat kuasa lain di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.
Menurut Mohd Shuhaily, tujuh jenis pelanggaran peraturan trafik yang akan ditekankan semasa operasi berkenaan melibatkan Op Parkir Haram, Op Halangan, Op Lampu Merah, Op Nombor Plat Kenderaan, Op Cermin Gelap, Op Motosikal dan Op Didik.
“Selain itu, polis akan membuat risikan untuk tangkapan serta semakan rekod jenayah selain mengambil tindakan dengan membuat pemeriksaan ke atas bengkel-bengkel kenderaan yang melakukan pengubahsuaian kenderaan menyalahi undang-undang dan mengesan kenderaan curi.
“Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Polis Kuala Lumpur juga akan bersama-sama mengambil tindakan sekiranya berlaku salah laku penyalahgunaan dadah sepanjang operasi itu dijalankan,” katanya.
Beliau berkata operasi berkenaan merupakan langkah pencegahan awal sebelum ia menjadi tidak terkawal dan mengelak daripada berlaku perkara tidak diingini kerana polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan jenayah serta melakukan kesalahan jalan raya.
“Operasi ini bersifat untuk mendisiplin, mendidik dan menasihati serta memastikan semua pengguna kenderaan mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya serta peraturan-peraturan di bawah agensi penguatkuasaan terbabit,” katanya.
Sebagai rekod, sebanyak 895 kertas siasatan trafik dibuka bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini dengan jenis kesalahan tertinggi adalah halangan iaitu meletakkan kenderaan di kawasan dilarang atau menghalang lalu lintas dengan 311 kes; diikuti lumba haram (180 kes) dan langgar lampu merah (167 kes).- BERNAMA