Datuk C. Sivaraj

KUALA LUMPUR – Ketua Cawangan MIC Taman Bukit Kuchai Baru, Datuk Sivaraj Chandran meletak jawatannya serta mengisytiharkan keluar parti itu hari ini.

Peletakan jawatan itu dibuat kerana mendakwa tidak mampu lagi bertahan dengan pelbagai sekatan yang dilakukan MIC terhadapnya.

“Lebih baik saya keluar parti demi menjalankan tanggungjawab sebagai Ahli Dewan Negara tanpa sebarang halangan atau sekatan daripada mana-mana pihak terutamanya kepimpinan MIC.

“Beberapa peristiwa berlaku di bawah pentadbiran Presiden MIC, Tan Sri S.A Vigneswaran membuatkan saya membuat keputusan ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, keputusan diambil memandangkan ada pihak yang menganggap dirinya sebagai ancaman dalam parti.

“Lebih buruk lagi, saya disekat dengan pelbagai cara daripada menerusian khidmat bakti saya kepada masyarakat dan negara. Jika perkara ini terus berpanjangan, kemungkinan ia mendorong kepada perpecahan dalam kalangan ahli parti.

“Sejujurnya, saya tidak mahu menjadi punca parti ini terus berpecah akibat perbezaan pandandan dan pendekatan,” katanya lagi.

Untuk rekod, sejak menyertai MIC hampir 20 tahun lalu, Sivaraj memegang beberapa jawatan penting seperti Setiausaha Pergerakan Pemuda MIC Kebangsaan, Ketua Pemuda MIC Kebangsaan, Naib Presiden, calon pilihan raya, ahli Parlimen dan terkini Ahli Dewan Negara.

MalaysiaGazette sedang berusaha mendapatkan Presiden MIC Vigneswaran berhubung perkara yang sama. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Ketua MIC pun bimbang dicabar… ingatkan ZAHID HAMIDI sahaja yang TAKUT… paling menakutkan UMNO kalah semua di PRN 6 NEGERI kerana riak MUKA KETAT ZAHID HAMIDI sepanjang masa kini… Sayonara goodbye Zahid Hamidi

Comments are closed.