KUALA LUMPUR – UMNO Bahagian Kota Raja berharap Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz diketengahkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor.
Timbalan ketuanya, Abdul Raof Mokhtar berkata, sebagai seorang tokoh yang berdedikasi, berintegriti dan berpengalaman dalam bidang pentadbiran, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu mempunyai visi dan misi yang jelas untuk membawa perubahan positif kepada masyarakat.
Beliau yakin bahawa Tengku Zafrul yang juga Ketua UMNO Bahagian Kota Raja akan berusaha gigih untuk memajukan kawasan DUN yang ditandinginya dan mampu memperjuangkan kepentingan rakyat.
“Hasrat ini selari dengan semangat kerjasama Kerajaan Perpaduan yang dibentuk di peringkat pusat.
“Ketika ini, di kawasan Parlimen Kota Raja, wakil-wakil rakyatnya datang dari PKR, Parti Amanah Negara dan DAP.
“Adalah wajar sekiranya kerusi DUN Sungai Kandis yang hampir 70 peratus terdiri daripada pengundi Melayu diwakili oleh UMNO,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Kerusi DUN Sungai Kandis ketika ini disandang oleh pemimpin PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni.
Abdul Raof memberitahu, hasrat itu harus dipertimbangkan oleh kepimpinan parti gabungan BN dan Pakatan Harapan (PH) demi meyakinkan rakyat terhadap kerajaan negeri yang akan dibentuk nanti.
Beliau menambah, UMNO Bahagian Kota Raja menyokong penuh Tengku Zafrul sebagai calon Kerajaan Perpaduan bagi kerusi DUN Sungai Kandis agar dapat mewujudkan perubahan yang diimpikan bersama.
“Bersama Tengku Zafrul, kita mampu mencapai masa depan yang lebih cerah dan sejahtera untuk semua,” jelasnya. – MalaysiaGazette
Semangat PERPADUAN bukan nak bagi UMNO kerusi yang PH menang, Semangat itu dikategori “KERJASAMA” UMNO membantu meningkatkan POPULARITY dan MAJORITY PH di kerusi mereka menang. Untuk UMNO boleh mempertahankan kerusi yang mereka menang pada PRU lalu.
DUN yang sama-sama kalah boleh BAHAGI TIGA @30% antara PKR PAN dan UMNO 10% bagi DAP. itu adalah PERPADUAN untuk keadilan. Bukan nak bagi UMNO yang ditolak rakyat. UMNO ni tak faham bahasa DAH bagi KETING nak PEHA dan DADA pula. bersyukur lah pada tuhan apa yang diberi…