JOHOR BAHRU – Kira-kira sejuta kenderaan dijangka memasuki Johor termasuk menerusi laluan darat antara Malaysia dan Singapura melalui Tambak Johor dan Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) sempena Aidiladha ini.
Timbalan Ketua Polis Johor, DCP M Kumar berkata, langkah proaktif telah diambil bagi memastikan kelancaran lalu lintas menerusi Op Lancar, khususnya di 47 lokasi panas dan 27 lokasi hitam yang dijangka berpotensi berlaku kesesakan.
Beliau berkata, penugasan Op Lancar turut memfokuskan kepada kelancaran lalu lintas di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Iskandar Puteri.
“Tumpuan penugasan Op Lancar juga melibatkan bantuan penugasan di persimpangan dan lampu isyarat, rondaan dan statik, masa respons kepada kemalangan serta halangan yang mungkin boleh menjejaskan aliran trafik.
“Selain itu, penguatkuasaan sepenuhnya akan dilakukan bagi enam kesalahan utama jalan raya, terutamanya memotong barisan dan menggunakan lorong kecemasan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kumar berkata seramai 261 pegawai da,n anggota Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Johor terlibat dalam penugasan Op Lancar.
Beliau turut memberi peringatan tegas kepada pengguna jalan raya khususnya mereka yang pulang bercuti sempena Aidiladha, agar mematuhi peraturan lalu lintas dan undang-undang yang ditetapkan.
“Sila memandu dengan berhemah, jangan pentingkan diri sendiri, kawal emosi dan sentiasa sabar dengan situasi semasa serta jangan membuat sebarang provokasi yang boleh membahayakan diri dan orang lain,” katanya.
Tinjauan Bernama di sekitar bandar raya ini setakat pukul 2 petang tadi mendapati keadaan lalu lintas lancar, namun trafik sedikit perlahan dari pertengahan Tambak Johor menuju laluan masuk ke Singapura. – MalaysiaGazette